X

Kindly register in order to view this article
!

Keputusan lucut harta BN Johor Bahru 9 Jun

A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang berjumlah RM677,872.55 yang disita daripada Barisan Nasional (BN) Johor Bahru yang sepatutnya ditetapkan hari ini di Mahkamah Tinggi di sini telah dilapangkan.

Wang itu yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalan Pendakwa Raya Maziah Mohaide memberitahu Bernama, keputusan permohonan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh itu telah dijadualkan semula pada 9 Jun depan.

"Tarikh keputusan (hari ini) 5 Jun dijadualkan semula kerana mengikut jadual tugasan Yang Arif semasa tempoh PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat)," katanya menerusi aplikasi WhatsApp.

Pada 27 September tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memasukkan nama pemegang jawatan BN Johor Bahru dalam notis melucut hak harta cawangan parti politik itu berjumlah RM677,872.55.

Sebelum ini, bekas Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dilaporkan berkata, permohonan perlucutan hak telah difailkan terhadap 41 responden untuk memperoleh semula dana kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB.

Latheefa berkata, tindakan itu diambil mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) dan suruhanjaya itu percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun bank bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus