Pekerja kilang maut kereta langgar lori

Anggota bomba dari Balai Gebeng membantu mengeluarkan pemandu kereta yang tersepit selepas terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 31, Jalan Kuantan-Kemaman, awal pagi tadi. - Foto JBPM
Anggota bomba dari Balai Gebeng membantu mengeluarkan pemandu kereta yang tersepit selepas terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 31, Jalan Kuantan-Kemaman, awal pagi tadi. - Foto JBPM
A
A
A

KUANTAN - Seorang pekerja kilang maut selepas kereta dipandu terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 31, Jalan Kuantan-Kemaman berhampiran Kampung Sungai Ular di sini, awal pagi tadi.

Dalam kemalangan kira-kira jam 12.45 pagi itu, Badrun Hisyam Abdullah, 49, dari Kemaman disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Bagaimanapun, pemandu lori berusia 26 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohamad Daud berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Viva dalam perjalanan dari Kuantan menghala ke Kemaman.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi kejadian mangsa dipercayai gagal mengawal kereta dipandu sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan terlanggar lori yang membawa muatan barang kedai serbaneka.

Mangsa mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. - Foto JBPM
Mangsa mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. - Foto JBPM

"Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Anuar Hassan berkata, 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng bersama sebuah jentera FRT dan EMRS ke lokasi untuk bantuan menyelamat.

"Mangsa yang disahkan meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.