Perak alu-alukan usaha pelihara warisan

Ahmad Faizal menyampaikan ucapan sempena perasmian galeri berkenaan yang disempurnakan Sultan Nazrin.
Ahmad Faizal menyampaikan ucapan sempena perasmian galeri berkenaan yang disempurnakan Sultan Nazrin.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak mengalu-alukan usaha serta komitmen semua pihak memelihara warisan, budaya dan tradisi tempatan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, usaha itu dilihat penting bagi memaksimumkan potensi Perak dan bandar raya Ipoh sebagai destinasi pelancongan terunggul negara.

Menurutnya, kerajaan negeri sedang mengambil inisiatif untuk menaik taraf Pusat Maklumat Pelancongan Ipoh (ITIC) bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dan keselesaan kepada pelancong.

"Selain itu, pencahayaan dan hiasan di beberapa lokasi akan turut dinaik taraf bagi menambah nilai estetika kepada bandar raya Ipoh.

"Kerajaan negeri turut menaik taraf Jalan Dato Tahwil Azar demi keselamatan pengguna jalan raya di Gerbang Malam manakala Kompleks Silveritage di Medan Gopeng juga diberi nafas baharu untuk mempromosikan pelbagai barangan kraf tempatan," katanya ketika menyampaikan sembah ucapan sempena Perasmian Galeri Warisan 22 Hale Street, Jalan Tun Sambanthan, di sini, hari ini.

Majlis perasmian tersebut disempurnakan Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri juga akan memperkenalkan perkhidmatan bas Hop On Hop Off pada suku pertama tahun ini.

Katanya, perkhidmatan bas dua tingkat itu akan menjadi satu lagi daya tarikan pelancong di bandaraya Ipoh.

Artikel Berkaitan:

Mengenai Galeri Warisan 22 Hale Street, beliau berkata, usaha mengetengahkan nilai-nilai warisan Perak di galeri itu wajar dipuji.

"Ini adalah tugas kita bersama, bukan semata-mata demi manfaat ekonomi, tetapi yang lebih penting adalah mengekalkan warisan yang telah menjadi identiti rakyat Perak, untuk diperturunkan kepada generasi akan datang.

"Dengan adanya galeri ini, para pelancong dapat menyelami keunikan elemen warisan bandaraya Ipoh dan negeri Perak," katanya.