Mesyuarat MPT Bersatu sokong penuh kepimpinan Muhyiddin

Hamzah Zainuddin.
Hamzah Zainuddin.
A
A
A

SHAH ALAM – Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) malam tadi menyokong dan memberikan mandat penuh kepada Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong berlandaskan Perlembagaan negara.

Menurutnya, dalam mesyuarat itu, MPT mengiktiraf tugas digalas Muhyiddin sebagai pemangku Pengerusi Bersatu yang sah selaras Fasal 16.9 Perlembagaan Bersatu selepas peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Pengerusi pada 24 Februari 2020.

“Selain itu, mesyuarat juga mengesahkan keputusan untuk Bersatu keluar dari Pakatan Harapan (PH) telah dimuktamadkan semasa mesyuarat MPT pada 23 Februari lalu dan pengumuman rasmi dibuat oleh Muhyiddin selaku pemangku Pengerusi pada 24 Februari itu adalah sah dan teratur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hamzah berkata, mesyuarat yang berlangsung di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) kira-kira jam 10 malam tadi berjalan dengan lancar dan penuh tertib.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan, pelantikannya sebagai Setiausaha Agung Bersatu yang baharu berkuatkuasa 26 Mac lalu adalah sah dan teratur mengikut Perlembagaan parti.

Dalam masa sama, mesyuarat MPT juga mengesahkan keahlian Dr Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Datuk Amiruddin Hamzah dan Dr Maszlee Malik terhenti secara serta-merta menurut peruntukan Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Bersatu dan tafsiran MPT berhubung terhentinya keahlian mereka adalah muktamad.

“MPT turut mengesahkan Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya adalah sekian lama Setiausaha Kerja Bersatu yang sah dan sebarang surat pemakluman yang ditandatangani olehnya adalah terpakai secara rasmi.

Artikel Berkaitan:

“Akhir sekali, saya juga hendak memaklumkan, keputusan memuktamadkan penyertaan Bersatu dalam gabungan parti politik baru yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Bersatu adalah bertepatan dengan matlamat, tujuan dan dasar parti.

“Pada kesempatan ini, MPT merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir; mantan Timbalan Presiden, Mukhriz; mantan Ketua Armada, Syed Saddiq dan semua ahli MPT yang telah meninggalkan parti atas segala sumbangan dan pengorbanan yang mereka curahkan kepada parti,” katanya.

Beliau berkata, dengan pengesahan dan ketetapan yang diambil pada mesyuarat MPT semalam, Hamzah menyeru ahli dan pimpinan akar umbi parti untuk kekal istiqamah bersama demi perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan tanah air.