X

Kindly register in order to view this article
!

Selangor perkukuh inisiatif pengesanan kontak Covid-19

Amirudin Shari
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang berusaha bagi mengintergrasikan sistem SELangkah bersama dengan aplikasi MySejahtera dalam usaha mengukuhkan inisiatif pengesanan kontak secara holistik.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, menerusi pelaksanaan ini, petugas KKM dapat mengakses pangkalan data SELangkah yang luas bagi penjejakan kontak selain menggunakan kaedah sedia ada.

Beliau berkata, dengan wujudnya intergrasi ini, pemilik premis yang telah menggunakan ekosistem SELangkah boleh terus berbuat demikian tanpa perlu melakukan sebarang perubahan.

"Kerajaan negeri berbesar hati dengan lawatan delegasi KKM pada 28 Mei yang diketuai oleh Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba bagi membincangkan strategi akan datang dalam mengawal wabak Covid-19 daripada merebak.

"Pertemuan itu antara lain memfokuskan kepada usaha-usaha integrasi di antara ekosistem SELangkah dan MySejahtera. Diharapkan perkongsian pintar di antara kedua-dua sistem digital ini tidak akan mengelirukan pengguna," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selangor memperkenalkan SELangkah iaitu sistem pendaftaran keluar masuk individu ke premis perniagaan atau jabatan kerajaan bagi menjejak jangkitan Covid-19.

SELangkah bertujuan melindungi premis perniagaan, pelanggan dan pasukan barisan hadapan dengan mudah dan pantas.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, buat tempoh permulaan, carian kontak oleh kakitangan kesihatan akan diintergrasikan merentasi kedua-dua pangkalan data iaitu MySejahtera dan SELangkah.

"Dalam masa yang terdekat, pengguna akan boleh menggunakan aplikasi MySejahtera untuk mengimbas Kod QR SELangkah, selain daripada menggunakan modaliti sedia ada.

"Bagi tujuan pemantauan dan audit kepatuhan SOP pembukaan ekonomi semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), log SELangkah turut boleh diakses oleh penguatkuasa-penguatkuasa dari pelbagai agensi, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lain-lain," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin berkata, sehingga 3 Jun lalu, inisiatif SELangkah telah disertai oleh lebih 40,000 komuniti perniagaan dan pemilik premis pelbagai saiz.

"Sebagai inisiatif e-tracing dengan teknologi terbuka awam yang pertama dan mempunyai kelebihan penggerak awal, ia telah pun digunakan hampir 2.03 juta pengguna.

"Angka tersebut meliputi penggunaan di Lembah Klang sahaja dan belum mengambil kira data pengguna negeri lain seperti Pahang dan Johor yang turut menyumbang angka pengguna yang besar," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!