1,000kg daun ketum dirampas

Abd Latif menunjukkan daun ketum yang siap dibungkus yang ditemui dalam bangsal berkenaan.
Abd Latif menunjukkan daun ketum yang siap dibungkus yang ditemui dalam bangsal berkenaan.
A
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Kedah berjaya merampas kira-kira 1,000 kilogram daun ketum bernilai RM50,000 dalam suatu serbuan di sebuah bangsal di kebun getah Kampung Lam Din, Naka Padang Terap, malam tadi.

Komander Aksem Kedah, Abd Latif Abd Rahman berkata, ketika serbuan jam 11.30 malam itu, anggota risik yang diketuai oleh Inspektor Anandha Krishnan telah menjumpai sejumlah beg plastik hitam berisi daun ketum yang dalam proses pembungkusan di bangsal terbabit.

Katanya, bagaimanapun suspek yang berada di bangsal berkenaan ketika itu sempat melarikan diri ketika pihak Aksem tiba.

"Anggota kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut di kawasan sekitar dan menjumpai sebuah kereta Honda FD berwarna hitam yang diparkir di belakang bangsal tersebut," katanya, ketika sidang media di Kompleks Aksem di sini, hari ini.

No Image Caption

Menurutnya, setelah memeriksa kereta itu, anggotanya turut menemui sejumlah plastik hitam berisi daun ketum di bahagian tempat duduk belakang kereta terbabit.

"Anggota kemudiannya menanti lebih kurang satu jam, namun tiada individu yang tampil mengaku sebagai pemilik kereta berkenaan,"katanya.

Abd Latif berkata, siasatan awal mendapati daun ketum berkenaan diperolehi dari kawasan sekitar kebun getah berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana, selain tanaman getah, ada juga pokok ketum yang ditanam di kebun itu, dan kita percaya ketum ini diproses untuk dibawa ke sempadan negeri Kelantan.

"Ia berdasarkan kes rampasan ketum sebelum ini oleh pihak berkuasa Kelantan yang mendapati ia dibawa dari negeri ini," katanya.

Tambahnya, pihaknya juga mendapati bangsal berkenaan dijadikan transit sebelum ketum yang siap dibungkus itu dibawa ke lokasi tertentu termasuk sempadan Kelantan dan seterusnya dibawa masuk ke negara jiran.

"Ini kerana, harga ketum di negara jiran sangat lumayan iaitu mencecah tiga kali ganda harga pasaran tempatan di sini," katanya.

Katanya, Aksem merampas semua plastik berisi daun ketum berkenaan termasuk kereta dan sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z yang turut ditemui berdekatan bangsal berkenaan.

"Keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM140,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," katanya.