Mohd Ali angkat sumpah jawatan Yang di-Pertua Negeri Melaka ketujuh

Yang Dipertua Negeri Melaka ketujuh kepada Tun Mohd Ali Mohd Rustam. - Foto Bernama
Yang Dipertua Negeri Melaka ketujuh kepada Tun Mohd Ali Mohd Rustam. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Tun Mohd Ali Rustam hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka di Balai Istiadat, Seri Negeri, Ayer Keroh di sini.

Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Menandatangani Surat Cara Sumpah Jawatan Yang di-Pertua Negeri Melaka itu bermula kira-kira jam 10.10 pagi ini.

Mohd Ali,70, yang juga Ketua Menteri Melaka Kesembilan diiringi isterinya, Toh Puan Asmah Abdul Rahman, 64.

Terdahulu, pengisytiharan jawatan Yang di-Pertua Negeri Melaka itu disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Seri Hasim Hasan.

Mohd Ali kemudian mengangkat sumpah jawatan dan menandatangani surat cara sumpah jawatan Yang di-Pertua Negeri Melaka.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali kemudian menyampaikan ucapan diikuti ucapan taat setia, sebelum Mohd Ali buat julung kalinya menyampaikan ucapan sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka.

Mohd Ali kemudian beredar meninggalkan majlis pada kira-kira jam 11 pagi dan dijadual menghadiri majlis serah tugas Yang di-Pertua Negeri Melaka di Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka di sini.

Hadir pada istiadat itu ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Ketua Menteri Melaka Ke-10, Datuk Seri Idris Haron, dan Ketua Menteri Melaka Ke-11, Adly Zahari.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Watikah Pelantikan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka ketujuh kepada Mohd Ali pada majlis di Istana Negara, Kuala Lumpur.

Mohd Ali menggantikan Tun Dr Mohd Khalil Yaakob yang tamat tempoh jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka semalam. - Bernama