Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS

Ringgit berada pada 4.2640/2720 berbanding dolar AS daripada 4.2740/2810 semasa ditutup semalam.
Ringgit berada pada 4.2640/2720 berbanding dolar AS daripada 4.2740/2810 semasa ditutup semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit tinggi berbanding dolar AS dalam sesi awal hari ini berikutan permintaan lebih baik terhadap unit tempatan, susulan mata wang Amerika Syarikat itu, tidak dapat bertahan dengan sentimen risiko yang tinggi.

Pada jam 9.23 pagi ini, ringgit berada pada 4.2640/2720 berbanding dolar AS daripada 4.2740/2810 semasa ditutup semalam.

Dalam nota, Ketua Ekonomi/Ketua Penyelidikan AmBank Group, Anthony Dass berkata, dolar AS telah menghadapi tekanan sejak awal bulan ini dan kini dijangka meneruskan aliran penurunan apabila banyak negara mula mengurangkan sekatan pergerakan yang membantu menggalakkan harga minyak mentah kepada bulan terbaik dalam rekod.

“Peningkatan ringgit pada masa ini didorong oleh dolar AS yang lemah, harga minyak yang kukuh dan jangkaan yang meningkat mengenai pengurangan kadar pada Julai.

“Oleh itu, pada Jun, dijangka peningkatan nilai untuk ringgit. Sehubungan itu, unjuran tinggi pada Jun ialah 4.22 dan rendah pada 4.31,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali yen Jepun, yang meningkat kepada 3.9080/9157 daripada 3.9225/9293.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0505/0569 daripada 3.0483/0544, rendah berbanding pound kepada 5.3654/3776 daripada 5.3549/3645 dan susut berbanding euro kepada 4.8307/8410 daripada 4.7865/7947. - Bernama

Artikel Berkaitan: