Wang simpanan RM12,450 dalam bank lesap

M Zambri Mahmud
M Zambri Mahmud
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pekerja pelantar minyak di Kemaman kerugian simpanan bank berjumlah RM12,450 akibat diperdaya sindiket penipuan Macau Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, lelaki berusia 24 tahun itu pada mulanya menerima panggilan telefon daripada seorang wanita mengaku kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri semasa berada di Jeti Kemaman, jam 4.30 petang pada 16 April lalu.

"Wanita berkenaan memaklumkan mangsa mempunyai hutang tertunggak berjumlah RM38,690 kerana tidak membayar cukai syarikat beralamat di Pahang.

"Suspek memberitahu sekiranya dia tidak membayar cukai berkenaan, mangsa akan diisytiharkan muflis sebelum menyambungkan talian kepada anggota polis memperkenalkan diri sebagai 'Sarjan Saiful'.

"Talian seterusnya disambungkan ke Bank Negara Malaysia dan disebabkan terlalu takut, mangsa memberikan semua maklumat peribadi diminta termasuk maklumat akaun bank miliknya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

M.Zambri berkata, selepas mendedahkan semua maklumat diminta, suspek mengarahkan agar mangsa jangan sesekali melakukan sebarang transaksi selama 24 jam kononnya boleh mengganggu siasatan.

"Tanpa sebarang syak, mangsa akur dengan arahan sehinggalah hatinya tergerak untuk melakukan semakan baki dua akaun banknya pada Isnin lalu.

"Mangsa terkejut selepas mendapati baki simpanan kedua-dua akaun banknya berkurang keseluruhan RM12,450 lalu tampil membuat laporan untuk rujukan pihak bank selain bagi tindakan polis selanjutnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.