Mesyuarat Bersatu: Empat 'angkat kaki' lebih awal

Muhyiddin tiba di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) di Jalan Susur Damansara malam ini.
Muhyiddin tiba di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) di Jalan Susur Damansara malam ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Empat pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyertai mesyuarat tergempar parti itu 'angkat kaki' lebih awal meskipun mesyuarat masih berlangsung.

Mereka ialah Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi (MPT) iaitu Abu Bakar Yahya, Akram Shah Mohd Gadafi Sanusi, Tariq Ismail Mustafa dan Ketua Penerangan Armada Bersatu, Ulya Aqamah Husamudin.

Keempat-empat mereka keluar kira-kira jam 10.50 malam iaitu 40 minit sebelum pemimpin lain dilihat keluar setelah mesyuarat tamat.

Ulyah berkata, tindakan keluar lebih awal adalah sebagai tanda protes mereka terhadap intipati mesyuarat.

Katanya, mereka tidak dapat menerima apabila mesyuarat tersebut akan melucutkan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad secara rasmi serta penubuhan gabungan Perikatan Nasional (PN) secara rasmi.

"Maksudnya sebelum ini kita (Bersatu) belum ada gabungan formal dan perlucutan jawatan Dr Mahathir tidak boleh terpakai.

"Jadi kami telah nyatakan pandangan kami, kami rasakan ini tidak mengikut proses dalam perlembagaan parti dan perkara ini tidak betul. Jadi nampaknya kami tidak boleh menjadi sebahagian daripada mesyuarat.

"Parti ini milik akar umbi, ini bukan parti sekumpulan 30 orang yang berada di situ. Dalam 30 orang tu pun bila kita bersuara pun pandangan susah nak sampai, saya kira tiada ertilah kami di situ. Jadi kami buat keputusan untuk keluar," katanya kepada media.

Artikel Berkaitan:

Sebarang keputusan mesyuarat tersebut juga didakwa tidak sah mengambil kira proses pemilihan parti yang sedang berlangsung.

"Secara asasnya, semua MPT adalah 'caretaker' sebab bila kita dah hantar borang pencalonan semua jawatankuasa pusat telah dibubarkan. Yang ada sekarang ini adalah 'caretaker' seperti 'caretaker' kerajaan, mereka tidak boleh buat keputusan dasar," katanya.

Sementara itu, Abu Bakar berkata mesyuarat tersebut bagaimanapun berlangsung dalam suasana harmoni.

Katanya, mereka hadir bagi mewakili akar umbi yang mahu tahu tentang hala tuju parti.

"Saya hanya mahu benda-benda yang penting saja. Saya tanya adakah mesyuarat mendapat kelulusan Pertubuhan Pendaftaran Malaysia (Ros) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN), mereka kata ada kelulusan.

"Tapi kalau nak berceramah dalam tu, puji memuji antara satu sama lain saya tak nak dengar. Cuma kita pertikaikan kenapa pemecatan berlaku," katanya.