Misi berbeza Brazil dan Eropah

Kes positif Covid-19 di Brazil naik mendadak dengan 584,016 rakyat dijangkiti dan jumlah kematian kini mencecah 32,548 kematian. -Foto Agensi
Kes positif Covid-19 di Brazil naik mendadak dengan 584,016 rakyat dijangkiti dan jumlah kematian kini mencecah 32,548 kematian. -Foto Agensi
A
A
A

PARA penyelidik di Brazil mengumumkan akan mula menguji vaksin koronavirus (Covid-19) yang dikembangkan di Britain, sementara negara-negara di seberang Eropah mula membuka kembali sekatan dalam usaha merancakkan kembali ekonomi yang terjejas teruk disebabkan wabak pandemik.

Pihak berkuasa Brazil baru-baru ini turut meningkatkan sekatan baharu di timur laut negara itu setelah melaporkan jumlah kes yang tinggi.

Keprihatinan terhadap penularan wabak Covid-19 di Amerika Latin telah meningkat walaupun krisis kesihatan mula reda di beberapa wilayah lain di seluruh dunia.

Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam satu taklimat berkata, Amerika Syarikat (AS) terus menyumbang sebahagian besar kes Covid-19.

Dalam pada itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga mengatakan akan menyambung semua ujian terhadap ubat hidroksiklorokuin seminggu selepas menghentikan kajian itu berikutan jurnal perubatan The Lancet yang berpendapat ubat tersebut boleh membahayakan pesakit Covid-19.

Pusingan U itu dibuat selepas The Lancet sendiri menimbulkan keraguan terhadap kajian itu selepas berdebat dengan para saintis.

Sebuah lagi kajian yang diterbitkan dalam New England Journal of Medicine menunjukkan bahawa pengambilan ubat hidroksiklorokuin selepas dijangkiti Covid-19 tidak membantu mencegah jangkitan secara statistik.

WHO telah menjalankan ujian klinikal untuk merawat Covid-19 yang telah membunuh lebih daripada 382,000 orang selain turut menyebabkan dunia menghadapi kemerosotan ekonomi yang besar sejak wabak itu muncul di China pada akhir tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

“Selama beberapa minggu, jumlah kes yang dilaporkan setiap hari di Amerika lebih banyak daripada yang dikumpulkan di seluruh dunia.

“Kami sangat bimbang dengan keadaan Amerika tengah dan selatan kerana banyak negara menyaksikan wabak yang semakin meningkat,” kata Tedros.

Di samping itu, pemerintah Chile berkata, akan memanjangkan lagi penutupan di ibu kota Santiago selama tiga minggu berikutan jumlah kematian di sana mencapai catatan harian baharu.

Menurut pegawai kesihatan, 87 orang telah meninggal dunia dalam tempoh 24 jam sebelumnya dan hampir 5,000 jangkitan baharu telah dicatatkan. Chile kini juga telah merekodkan lebih daripada 113,000 jangkitan dan 1,275 kematian.

Pembukaan semula

Tetapi di luar negara-negara Amerika Latin mula membuka kembali sekolah, pantai dan perniagaan dengan berhati-hati selepas menjalani lockdown selama berbulan-bulan.

Negara-negara Eropah yang paling teruk terjejas oleh wabak itu mula memulakan tugas bagi memulihkan kembali ekonomi dengan risiko gelombang kedua.

Jerman turut melaksanakan pakej rangsangan berjumlah AS$146 bilion (RM621 bilion) bagi memulakan kembali ekonomi yang terjejas.

Berlin juga akan melonggarkan amaran perjalanan secara menyeluruh bagi negara-negara Eropah bermula 15 Jun.

Sementara itu di Itali, negara Eropah pertama yang teruk dilanda wabak Covid-19 mula membuka sempadannya kepada pelancong bagi memulihkan kembali ekonomi yang dilanda kemelesetan tiga bulan selepas penutupannya.

Bagaimanapun, pakar kesihatan memberi amaran bahawa pembukaan negara itu dilakukan terlalu cepat.

Sebahagian pelancong juga dijangka enggan melancong ke negara lain.

“Saya rasa tidak akan ada pelancong asing di negara ini sehingga September. Siapa yang akan datang?” kata pemilik kafe berhampiran Rome’s Colosseum, Mimmo Burgio.

Dalam pada itu, Austria mengumumkan akan membatalkan kawalan virus di semua sempadan darat kecuali di Itali.

Belgium pula dilaporkan akan membuka semula sempadannya untuk pelancong dari Eropah, Britain dan zon perjalanan bebas pasport di Eropah pada 15 Jun.

Bagaimanapun, Britain yang merupakan angka kematian kedua tertinggi di dunia tetap menasihatkan agar orang ramai tidak melakukan perjalanan yang tidak penting.

Ujian vaksin

Perlumbaan dalam pencarian vaksin masih pada kadar yang sama.

Empat ekonomi terbesar di Eropah iaitu Perancis, Jerman, Itali dan Belanda membentuk pakatan untuk mempercepatkan pengeluaran vaksin di tanah Eropah.

Dalam pada itu, Brazil mengumumkan akan mula menguji vaksin yang dikembangkan oleh Universiti Oxford minggu hadapan, sekaligus menjadi negara pertama di luar Britain yang mengambil bahagian dalam kajian tersebut.

Menurut Universiti Persekutuan Sao Paulo yang menyelaraskan kajian tersebut, vaksin akan diuji di Brazil ke atas 2,000 sukarelawan perkhidmatan kesihatan.

“Kajian vaksin di Brazil adalah sangat penting kerana kita berada dalam fasa mempercepatkan lengkung epidemiologi,” kata presiden universiti itu, Soraya Smaili.

Sementara pihak berkuasa melaksanakan perintah berkurung di seberang wilayah Bahia.

“Sekatan yang lebih besar perlu dilakukan berikutan kadar jangkitan yang dicatatkan sangat tinggi,” kata Gabenor Bahia, Rui Costa.

Sehingga kini, Brazil mencatatkan kes Covid-19 kedua tertinggi di dunia dengan lebih daripada setengah juta kes dan 31,000 kematian.

Sementara itu di Afrika, pasukan polis di Senegal telah menahan lebih daripada 70 orang penunjuk perasaan yang menyebabkan keganasan di beberapa bandar.

Demonstrasi tercetus berikutan orang ramai menuntut pelaksanaan berkurung pada waktu malam yang diumumkan oleh Presiden Macky Sall pada 23 Mac ditarik semula.

Sehingga kini, negara itu telah mencatatkan hampir 4,000 kes Covid-19 dan 45 kematian. - AFP