Iktibar daripada kematian George Floyd

George Floyd
George Floyd
A
A
A

DALAM kegamatan protes merentasi bandar-bandar Amerika Syarikat susulan kematian George Floyd, rakyat Malaysia juga tidak ketinggalan untuk memperdebatkan isu itu di media sosial. Sekiranya peristiwa itu berlaku lima tahun lalu, saya juga mungkin akan melakukan perkara yang sama.

Pengalaman membesar di Texas dan hidup di New York membuatkan saya sering melihat diri saya sebagai sebahagian daripada Amerika. Namun seiring dengan peredaran masa, saya mula memahami bahawa ada beberapa perbincangan yang sia-sia untuk saya mulakan dalam negara tersebut, di mana suara saya tidak akan membantu untuk menyelesaikan permasalahan yang hanya memerlukan warga Amerika – dan bukannya saya – untuk bertindak selanjutnya.

Saya tidak menyangkal keperluan untuk bersolidariti dengan hal yang berlaku di luar sempadan kita, namun sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita juga perlu mengambil peluang ini untuk menilai kembali sentimen perkauman dan kekejaman polis di negara ini.

Imej ngeri Derek Chauvin yang menindih leher Floyd dengan lututnya sendiri sewajarnya menjadi tamparan yang membibitkan kesedaran bagi kita untuk mula mengambil serius tentang isu kematian dalam tahanan yang sudah lama berlarutan. Meskipun saya cukup sedar akan kelebihan saya selaku lelaki Melayu kelas pertengahan atasan yang melindungi saya daripada kekejaman polis, perkara itu masih menghantui kelas-kelas masyarakat yang kurang berkemampuan.

Keistimewaan saya tidak menghentikan tragedi ke atas N Dharmendran yang didakwa mati akibat serangan asma di Malaysia, namun hasil penyiasatan kemudiannya mendedahkan bahawa kematiannya disebabkan pelbagai kecederaan hentakan barang tumpul. Perkara sama juga terjadi pada P Karuna Nithi, A Kugan, Ahmad Sarbani Mohamed, dan Teoh Beng Hock. Bahkan, lebih daripada 200 nyawa telah diragut dalam tempoh tahanan polis sejak 2002.

Meskipun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan yang lalu telah mengorak langkah untuk menangani isu itu, pemasangan CCTV dalam lokap polis hanyalah sebahagian kecil daripada penyelesaian masalah itu. Perkauman

Bagi saya, walaupun majoriti mangsa yang terkorban semasa berada dalam tahanan adalah berbangsa Melayu, isu itu ternyata berbaur unsur perkauman yang begitu tinggi. Kaum India tidak asing daripada menjadi mangsa utama, dengan satu daripada empat mangsa adalah terdiri daripada kaum berkenaaan, meskipun peratusan mereka daripada populasi terkini hanyalah tujuh peratus.

Pakar-pakar perundangan juga telah menunjukkan bahawa Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 memberikan imuniti penuh kepada pelaksana undang-undang semasa menjalankan tugas, walaupun semasa berada di luar hal ehwal bidang kuasa mereka. Statistik hadir sebagai bukti sokongan – hanya sembilan pegawai polis pernah didakwa atas kesalahan menyebabkan kematian dalam tahanan sejak 2008.

Artikel Berkaitan:

Sebagai permulaan, salah satu langkah drastik yang patut dilaksanakan ialah meluluskan Rang Undang-undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019.

Jika ada sebarang iktibar yang boleh kita ambil daripada kematian Floyd, ia mestilah menunjukkan kita mengambil pengajaran daripada peristiwa itu. Kita perlu menilai semula hala tuju kita di bawah pimpinan pemimpin yang gentar untuk bertanggungjawab di atas kesalahan mereka. Agar kita menerima hakikat bahawa melainkan dengan adanya sebarang perubahan, para pelaksana undang-undang tidak akan mampu untuk bersimpati sepenuhnya dengan Floyd – ataupun Dharmendran – dan dalam masa sama mendokong prinsip-prinsip yang membentuk kerajaan hari ini.

Yang paling penting, untuk mengingati bahawa negara ini bukan hak milik ahli-ahli politik. Ia kepunyaan kita sebagai rakyat jelata.

* Hezril Asyraaf ialah Penyampai dan Penerbit di stesen radio BFM 89.9.