Elak bubar DUN: Pemuda Pas Johor

Ketua DPPNJ, Ahmad Nawfal Mahfodz
Ketua DPPNJ, Ahmad Nawfal Mahfodz
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dewan Pemuda Pas Negeri Johor (DPPNJ) berharap pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dapat dielakkan kerana ketika ini masa yang tidak sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua DPPNJ, Ahmad Nawfal Mahfodz berkata, terutama dalam suasana kerajaan masih dalam usaha pemulihan sosio ekonomi dan kesihatan rakyat akibat penularan wabak koronavirus (Covic-19) yang masih melanda.

"Adakah agensi-agensi yang terlibat dengan proses pilihan raya telah bersedia dengan kaedah mengundi yang baharu dengan mengambil kira aspek kesihatan dan bahaya penularan kembali wabak ini.

"Bagaimanapun seandainya berlaku pembubaran DUN, sebagaimana titah Sultan Johor, rakyat janganlah lagi memilih calon yang hanya mementingkan diri dan parti mereka sahaja walaupun di saat rakyat hidup susah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Sultan Johor sedia bubar DUN Johor

Sultan Johor bertitah dalam Facebook rasminya semalam, baginda sedia membubarkan DUN Johor sekiranya perebutan kuasa terus berlaku dalam kalangan wakil rakyat di negeri ini.

Pada 30 Mei lalu, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub memberi gambaran Pakatan Harapan (PH) mungkin dapat merampas semula Putrajaya daripada kerajaan Perikatan Nasional sebelum Julai ini dan gelombang perubahan kemungkinan akan bermula di Johor.

Ahmad Nawfal berkata, DPPNJ senada dengan Badan Perhubungan Pas Johor menyokong kerajaan Perikatan Nasional yang dilihat memerintah dengan baik, menyusun satu demi satu inisiatif kemajuan dan kesejahteraan rakyat Johor.

Katanya, pendirian PH Johor berkenaan titah Sultan Johor supaya mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 dikembalikan menimbulkan persoalan.

Artikel Berkaitan:

"Kita tertanya-tanya adakah peralihan kuasa daripada PH kepada Perikatan Nasional tidak mengikut lunas perlembagaan? Adakah sekiranya PH memerintah baru dikatakan mengikut lunas perlembagaan," soalnya.

Beliau berkata, desakan PH Johor itu dilihat seolah-olah menghasut rakyat untuk membelakangi Fasal 23(2) Undang Tubuh Negeri Johor 1895 yang memberikan hak kepada sultan untuk membubarkan atau mengekalkan DUN.

DPPNJ katanya, menjunjung titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya wakil rakyat tidak lagi sibuk berebut kuasa dan jawatan pada saat rakyat sedang berada dalam kesempitan.