44 dikompaun berkumpul, berhibur dalam pub

Antara yang ditahan berkumpul dan berhibur di sebuah pub di Desa Jaya Kepong malam tadi.
Antara yang ditahan berkumpul dan berhibur di sebuah pub di Desa Jaya Kepong malam tadi.
A
A
A

GOMBAK - Seramai 44 pekerja dan pelanggan sebuah pub dan bistro di Desa Jaya Kepong dikompaun RM1,000 selepas dikesan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan berkumpul dan berhibur semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung aktiviti itu sekitar jam 9.15 malam.

Menurutnya, mereka terdiri 29 lelaki dan 15 wanita berusia antara 18 hingga 47 tahun gagal memberikan alasan munasabah berada di lokasi tersebut.

"Mereka dikesan berkumpul dan berhibur termasuk minum arak yang secara tidak langsung telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh PKPB.

"Tindakan adalah di bawah Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020," katanya pada sidang akhbar berhubung tangkapan lima suspek kes pecah masuk kedai hardware di Balai Polis Rawang hari ini.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, sebanyak 102 kompaun langgar PKPB dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak sejak 22 Mei hingga hari ini termasuk 22 kompaun di sekatan jalan raya Tol Gombak dan lapan kes di sekatan jalan raya Jalan Gombak Lama.

"Selain itu, sebanyak 14 kompaun ziarah Aidilfitri dan 59 kompaun bagi kategori pusat hiburan serta lain-lain termasuk perjudian," katanya.

Sementara bagi permohonan permit rentas negeri pula katanya, purata harian di bawah IPD Gombak adalah antara 500 hingga 700 permohonan.

Artikel Berkaitan:

"Permohonan diterima atas pelbagai alasan antaranya pasangan jarak jauh, kecemasan dan perubatan, kematian selain sebab bekerja serta pulang ke tempat pengajian.

"Untuk hari ini sahaja setakat jam 4 petang tadi sebanyak 360 permit rentas negeri telah dimohon dan sebanyak 350 telah diluluskan sementara 10 yang lain ditolak," katanya.