X

Kindly register in order to view this article
!

Sarawak benarkan kedai gunting rambut beroperasi mulai 8 Jun

Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A

KUCHING - Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak akan membenarkan pengoperasian kedai gunting rambut mulai 8 Jun ini, pertama kali sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, kata Pengerusinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas hari ini.

Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri I berkata, kebenaran itu terhad kepada aktiviti pengguntingan rambut sahaja dan aktiviti lain seperti urutan muka, urutan kepala dan lain-lain perkhidmatan yang ditawar di dalam kedai gunting rambut tidak dibenarkan.

“Selain kebenaran tersebut, mesyuarat juga memutuskan beberapa Taman Perlindungan Semulajadi di Samajaya, Bukit Lima, Bukit Sembiling dan Piasau akan kembali beroperasi mulai tarikh yang sama (8 Jun) dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini hari ini.

Dalam pada itu, bagi memperhalusi arahan yang telah dikeluarkan berhubung syarat kemasukan ke Sarawak, Uggah berkata, bagi urusan perniagaan, individu yang berkenaan perlu melampirkan jadual pergerakan untuk dipertimbangkan.

“Bagi penjawat awam yang menghadiri mesyuarat di Semenanjung, Sabah dan Labuan pula, mereka perlu mendapatkan surat pengesahan daripada ketua jabatan dengan menyatakan tarikh bertolak dan kembali.

“Kedua-dua kumpulan ini tidak akan dikenakan SOP untuk warganegara yang masuk ke Sarawak.

"Bagaimanapun, semua pegawai dikehendaki mengambil langkah-langkah penjagaan kesihatan yang tinggi sebelum, semasa dan selepas urusan mereka,” katanya.

Sementara itu, Uggah berkata, semua rakyat Sarawak yang terkandas di Semenanjung, Sabah dan Labuan serta tidak dapat mengambil sampel ujian COVID-19 atas sebab-sebab tertentu, dibenarkan pulang dengan syarat ujian sampel mereka akan diambil di Sarawak.

“Kos untuk pengambilan sampel tersebut akan ditanggung oleh kerajaan Sarawak manakala bagi kemasukan pekerja minyak dan gas, SOP yang telah dikeluarkan sebelum ini masih terpakai untuk syarat mereka masuk ke Sarawak,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus