Remaja maut terjerlus dalam pasir

Mangsa dipercayai terjerlus ke dalam pasir ketika berkelah bersama keluarga di Sungai Pahang berhampiran Kampung Medang Hilir, di sini, pagi tadi.
A
A

PEKAN - [DIKEMASKINI] Seorang remaja maut dipercayai terjerlus ke dalam pasir ketika berkelah bersama keluarga di Sungai Pahang berhampiran Kampung Medang Hilir, di sini, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Amran Sidek berkata, mangsa Mohammad Fariz Mohd Syukur, 16 dari perumahan Dato’ Shahbandar di sini dilaporkan lemas kira-kira jam 11 pagi sebelum mayatnya ditemui orang awam kira-kira sejam kemudian.

Menurutnya, berdasarkan maklumat dari bapa mangsa, Mohd Shukor Ahmad Gundal, 56, dia bersama keluarga termasuk mangsa datang ke lokasi itu untuk berkelah sempena cuti hujung minggu.

“Difahamkan keluarga ini tiba kira-kira jam 8 pagi dan kejadian berlaku dua jam kemudian.

“Mangsa sebelum itu dikatakan sedang memancing sebelum dilihat berjalan menuju ke beting pasir kira-kira 20 meter dari tebing sebelum terjerlus dan tenggelam,”katanya.

Amran berkata, bapa mangsa yang kebetulan berada di atas bot cuba menyelamatkan anaknya namun gagal.

“Mayat mangsa akhirnya ditemui namun disahkan meninggal dunia dan dihantar ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat,”katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pekan, Wan Samsul Effendi Wan Mahmud berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 11.16 pagi sebelum 11 anggota ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat.

Menurutnya, pihaknya tiba ke lokasi dan mendapati mayat mangsa sudah ditemui orang awam dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia