3,000 usahawan terjejas akibat Covid-19 diminta tampil

Nurkhuzaini
Nurkhuzaini
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kira-kira 3,000 peniaga dan usahawan berdaftar di negeri ini yang terjejas akibat penularan pandemik koronavirus (Covid-19) diminta tampil bagi membolehkan mereka menerima manfaat di bawah Program Subsidi Upah (PSU).

Exco Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja, Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, program dilaksanakan dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU).

Katanya, bantuan itu menyasarkan mereka yang terlibat dalam Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) seperti penjaja, peniaga kecil-kecilan, peniaga pasar malam, pekebun, petani dan sebagainya.

"Terdapat beberapa keistimewaan diberikan khusus kepada usahawan Terengganu antaranya mesti berdaftar dengan Sahabat Usahawan Terengganu (SUT).

"Selain itu, syarat mudah diberikan ialah semua permohonan PSU perlu didaftarkan oleh YPU sebelum diserahkan kepada Perkeso," katanya.

Beliau berkata, proses itu lebih senang dan cepat berbanding proses biasa.

Bagaimanapun, katanya, buat masa ini terdapat hanya 70 usahawan/peniaga yang telah mengemukakan permohonan melalui YPU dan mereka dijangka menerima bayaran sebanyak RM1.03 juta.

"Bagi syarikat yang memiliki bawah 75 pekerja akan mendapat RM1,200 seorang selama tiga bulan, 71 hingga 200 pekerja akan menerima RM800 setiap seorang manakala 201 pekerja ke atas akan mendapat RM600 bagi setiap pekerja.

Artikel Berkaitan:

"Perkeso dan YPU menyasarkan lebih 3,000 usahawan yang akan tampil berdaftar dengan YPU dan Perkeso seterusnya menerima bayaran yang akan dilakukan bermula 1 April hingga 15 September depan.

"Mana-mana usahawan hatta yang memiliki seorang pekerja dan terjejas diminta tampil untuk mendapatkan manfaat ini," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Fedah Perkeso, semalam.

Pada majlis itu, sebanyak tiga syarikat menerima PSU yang melibatkan peruntukan sebanyak RM334,800.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan bantuan PSU melalui Pakej Prihatin Covid-19 yang melibatkan peruntukan bernilai RM13.8 bilion.