Shoba letak jawatan dalam PKR

Ahli Majlis Pimpinan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat, S Shoba. Foto: FB Puan Shoba Selvarajoo
Ahli Majlis Pimpinan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat, S Shoba. Foto: FB Puan Shoba Selvarajoo
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Majlis Pimpinan Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat, S Shoba mengumumkan peletakan jawatan dan keluar daripada parti berkenaan berkuat kuasa kelmarin.

Menerusi kenyataan di Facebooknya, Shoba memaklumkan keputusan itu dibuat berikutan beliau hilang kepercayaan kepada presiden dan pimpinan parti.

“Saya telah hilang kepercayaan kepada presiden dan pimpinan parti selepas daripada pemilihan parti yang cacamarba serta memalukan. Sudah sampai masanya keputusan perlu di buat,” katanya.

Terdahulu, Shoba berkata, perkembangan politik melibatkan PKR memeningkan ahli dan juga pimpinan.

Beliau memaklumkan dirinya turut terkesan dengan penyebaran senarai nama ahli PKR yang digantung keahlian.

Dalam posting itu, beliau memaklumkan turut peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Zon 5 Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Setelah diteliti nama saya turut tersenarai. Saya dengan ini mengisytiharkan bahawa meletakkan semua jawatan dalam parti termasuk jawatan Ahli Majlis MPPZON5 seterusnya keluar daripada parti berkuatkuasa serta-merta.

“Kerjaya politik dan perkhidmatan awam saya akan terus menjadi lebih baik dari masa ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 4 Mei lalu Sinar Harian melaporkan seramai 348 anggota PKR dipecat selepas didapati melanggar tata etika dan disiplin parti termasuk dua wakil rakyatnya iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis dan ADUN Batu Lintang, See Chee How.

Sementara pemimpin yang digantung ialah Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha; ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin; Setiausaha PKR Selangor, Mohd Radzlan Jalaludin dan Ketua Cabang Kudat, Rahimah Majid.