Hydroxychloroquine tidak berkesan cegah Covid-19: Kajian

Ujian klinikal menunjukkan ubat anti-malaria, hydroxychloroquine tidak berkesan untuk mencegah jangkitan kepada orang yang terdedah dengan pesakit Covid-19. Foto: 123RF
Ujian klinikal menunjukkan ubat anti-malaria, hydroxychloroquine tidak berkesan untuk mencegah jangkitan kepada orang yang terdedah dengan pesakit Covid-19. Foto: 123RF
A
A
A

CHICAGO - Ujian klinikal menunjukkan ubat anti-malaria, hydroxychloroquine tidak berkesan untuk mencegah jangkitan kepada orang yang terdedah dengan pesakit novel koronavirus (Covid-19), lapor agensi berita Xinhua.

Eksperimen itu diketuai pasukan dari University Minnesota, Amerika Syarikat (AS) dijalankan pada Mac, ujian klinikal pertama secara rawak.

Membabitkan 821 orang dewasa dari AS dan Kanada, yang merupakan kontak pesakit Covid-19 selama lebih 10 minit pada jarak 1.83 meter atau kurang.

Semua peserta kemudian secara rawak diberikan ubat itu atau plasebo selama lima hari.

Selepas dua minggu, penyelidik mendapati 49 daripada 414 atau 11.83 peratus yang disuntik ubat berkenaan dijangkiti Covid-19 berbanding 58 daripada 407 atau 14.25 peratus yang diberikan plasebo.

Kesan sampingan pula lebih kerap berlaku kepada kumpulan yang menerima hydroxychloroquine berbanding plasebo - 40.1 peratus berbanding 16.8 peratus - tidak ada kesan serius dilaporkan.

Hasil kajian telah diterbitkan dalam New England Journal of Medicine.

Presiden Donald Trump berkata, beliau mahu menggunakan ubat itu untuk merawat Covid-19 tetapi Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) Amerika Syarikat memberi amaran penggunaannya di luar hospital tanpa pengawasan doktor, boleh beri kesan sampingan terhadap denyutan jantung. - Bernama

Artikel Berkaitan: