Covid-19: 277 kes baharu, hanya empat penularan tempatan

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kes positif wabak koronavirus (Covid-19) hari ini naik mendadak dengan 277 kes baharu yang dilaporkan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu hanya empat kes penularan tempatan dalam kalangan rakyat Malaysia direkodkan.

"Kes penularan di kalangan bukan warganegara adalah 271 kes manakala terdapat dua kes import warganegara Malaysia yang mendapat jangkitan di luar negara.

"270 kes di kalangan bukan warganegara adalah daripada Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil, di mana ini merupakan sampel ulangan bagi Orang Kena Tahan (OKT) yang dikuarantin di depot tahanan ini.

"Mereka telah terdedah kepada kes positif sebelum ini, manakala satu kes bukan warganegara adalah saringan tapak pembinaan di Pudu," katanya pada sidang akhbar situasi semasa jangkitan Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia kini adalah sebanyak 8,247 kes, dan kes aktif dengan kebolehjangkitan wabak itu adalah sebanyak 1,573 kes.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat 28 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 6,559 kes," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tiada kematian berkaitan Covid-19 direkodkan untuk 13 hari berturut-turut.

"Tiada kematian berkaitan Covid-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kekal 115 orang," katanya.