Kanak-kanak autisme 'bawa pulang' YB ke rumah

Noridzuan menunjukkan Norhizam keadaan rumah neneknya di
Kampung Pasir Puteh Bachang.
Noridzuan menunjukkan Norhizam keadaan rumah neneknya di Kampung Pasir Puteh Bachang.
A
A
A

MELAKA TENGAH - "YB (Yang Berhormat) boleh tolong? Rumah nenek rosak dimakan anai-anai," kata seorang kanak-kanak, Muhammad Noridzuan Nor Halim, 9, ketika mengadu mengenai kerosakan rumahnya kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee, kelmarin.

Kejadian tersebut yang tular di media sosial itu bukan sahaja mendapat perhatian pelbagai pihak, malah nenek kanak-kanak tersebut, Faridah Abdullah, 54, mengakui terkejut apabila cucunya itu turut 'membawa pulang' wakil rakyat ke rumah selepas membuat aduan mengenai rumah yang didiami bersama dua cucunya di Kampung Pasir Puteh Bachang, di sini yang berlubang dan reput dimakan anai-anai.

"Saya terkejut bila dia datang bawa balik YB ke rumah dan berterima kasih kepada YB yang prihatin dengan nasib kami sekeluarga," katanya yang menjaga dua orang cucu termasuk abang Muhammad Noridzuan iaitu Muhammad Adam Haziq, 11, sejak tiga tahun lalu selepas ibu bapa kanak-kanak berkenaan berpisah.

Dalam kejadian itu, kanak-kanak tersebut, Muhammad Noridzuan Nor Halim, 9, yang turut menghidap autisme memberanikan diri dengan menaiki motosikal ke Kompleks Japerun Pengkalan Batu yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya, kelmarin untuk bertemu Norhizam bagi mengadu permasalahan tersebut.

Keadaan siling rumah nenek Noridzuan yang berlubang dan telah reput di Kampung Pasir Puteh Bachang.
Keadaan siling rumah nenek Noridzuan yang berlubang dan telah reput di Kampung Pasir Puteh Bachang.

Prihatin dengan masalah rumah rosak itu, Norhizam kemudian membawa kanak-kanak berkenaan menaiki kenderaannya bagi melihat sendiri keadaan di rumah berkenaan.

Mengulas lanjut, Faridah yang kematian suami sejak 13 tahun lalu akibat kencing manis tinggal di rumah pusaka yang mempunyai sebuah bilik itu sejak berpuluh tahun lalu dan menjual roti canai di taman berhampiran untuk meneruskan kelangsungan hidup.

"Saya tak pandai meminta-minta, bantuan memang tak dapat tapi cucu-cucu, merekalah penguat untuk terus tabah dan sabar lebih-lebih lagi menjaga cucu autisme," katanya.

Artikel Berkaitan:

Norhizam menunjukkan Noridzuan video yang tular selepas kanak-kanak itu bertemu dengannya.
Norhizam menunjukkan Noridzuan video yang tular selepas kanak-kanak itu bertemu dengannya.

Sementara itu, Norhizam berkata, walaupun kanak-kanak itu mengalami masalah pertuturan namun beliau menganggap tidak semua kanak-kanak seusianya berani bertindak sedemikian.

Mengulas lanjut katanya, setelah menerima aduan, pihaknya segera turun padang ke rumah nenek kanak-kanak terbabit dan mendapati keadaan rumah tersebut daif serta kebanyakan siling rumah telah reput.

Berdasarkan siasatan awal pihaknya, Faridah juga tidak menerima sebarang bantuan bulanan untuk meringankan beban mereka sekeluarga dan hanya mengharapkan pendapatan menjual roti canai bagi menyara dua orang cucu yang tinggal bersama.

"Tiga kontraktor telah dipanggil untuk membuat pemeriksaan dan memberi sebut harga sebagai tindakan awal bagi menangani masalah dihadapi keluarga berkenaan," katanya.