Kerajaan prihatin caj bil air tempoh PKP

Shahir Adnan
Shahir Adnan
A
A
A

KOTA BHARU - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) meminta pengguna menghubungi operator air masing-masing untuk mengemukakan aduan sekiranya mendapat terdapat caj air tidak munasabah di kediaman dan premis masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Perlindungan Pengguna SPAN, Shahir Adnan berkata, aduan tersebut boleh dibuat melalui aduan@span.gov.my.

Menurutnya, sebarang maklum balas rakyat adalah penting khususnya pada waktu pandemik koronavirus (Covid-19) dan kelembapan ekonomi dunia.

“SPAN tetap komited sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab untuk memastikan matlamat pembangunan negara berkenaan dengan liputan, pembekalan dan akses kepada perkhidmatan bekalan air dan perkhidmatan pembetungan tercapai,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, tiada bacaan meter dilakukan demi menjaga kesihatan dan keselamatan kakitangan di syarikat operator-operator air.

“Bil air pada bulan bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu Mac akan digabungkan atau dikeluarkan secara berasingan mengikut anggaran purata penggunaan air sejak tiga bulan atau enam bulan sebelum ini.

“Bacaan meter akan dibuat pada bulan Mei, di mana bil air bagi bulan Mac dan April akan diselaraskan dalam bulan Mei.

"Maka, jika ada lebihan pembayaran sebelum ini, bil air akan berkurang pada bulan Mei,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu beliau berkata, rakyat tidak dibebankan dengan sebarang kenaikan tarif air dan komponen tarif kategori domestik, bukan domestik dan khas adalah kekal sepanjang tempoh PKP.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan peningkatan aktiviti rutin seperti memasak, mencuci dan membersihkan diri sepanjang tempoh PKP sedikit sebanyak mendorong kepada peningkatan penggunaan air di rumah kediaman.

“Namun begitu, adalah tanggungjawab SPAN untuk meneliti aduan-aduan agar tiada penindasan berlaku ke atas sumber asas air terhadap rakyat semua,” katanya.