Pasar Jalan Othman dibuka secara berperingkat Sabtu ini

Ermeemarianna (kiri) bergambar bersama ADUN Taman Medan, Syamsul Firdaus Mohamed Supri (dua dari kanan) dan Ahli Majlis MBPJ Zon 1, G. Suaise (kanan) selepas sidang media hari ini. Foto: Ihsan FB Syamsul Firdaus
Ermeemarianna (kiri) bergambar bersama ADUN Taman Medan, Syamsul Firdaus Mohamed Supri (dua dari kanan) dan Ahli Majlis MBPJ Zon 1, G. Suaise (kanan) selepas sidang media hari ini. Foto: Ihsan FB Syamsul Firdaus
A
A
A

PETALING JAYA - Pasar Jalan Othman yang dihentikan operasi sebelum ini susulan penularan wabak koronavirus (Covid-19) akan dibuka semula kepada orang awam secara berperingkat bermula Sabtu ini.

Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Zon 15, Ermeemarianna Saadon berkata, beberapa bahagian di pasar berkenaan antaranya melibatkan seksyen perniagaan ayam dan ikan akan mula beroperasi pada 1 Julai susulan daripada penambahbaikan yang perlu di laksanakan di situ.

Beliau berkata, sekiranya peniaga di seksyen terlibat tetap berhasrat untuk menjalankan operasi seperti biasa, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan mencari lokasi yang bersesuaian bagi membantu pihak terlibat mencari pendapatan selepas ini.

"Namun begitu peniaga harus mematuhi garis panduan yang ditetapkan. MBPJ juga menetapkan agar peniaga di pasar berkenaan harus membersihkan gerai mereka terlebih dahulu sebelum membuka premis masing-masing selepas ini," katanya pada sidang akhbar hari ini.

Mengulas mengenai tempoh penutupan pasar berkenaan yang dikatakan terlalu lama, Ermeemarianna berkata, perkara itu berlaku berikutan terdapat beberapa kerja perlu dilaksanakan terlebih dahulu antaranya melibatkan proses pembersihan di lokasi terbabit bagi memastikan persekitaran yang baik.

Menurut beliau, pihaknya juga berharap agar 43 orang peniaga di pasar itu yang belum mengikuti ujian saringan Covid-19 sebelum ini agar dapat melampirkan bukti berkaitan sebelum memulakan operasi perniagaan di pasar terbabit..

"Sebelum ini ada 46 peniaga namun tiga daripadanya telah memberikan dokumentasi berkaitan. Jadi saya harap baki selebihnya dapat berbuat demikian sebelum memulakan operasi.

"Kita tidak berkompromi dalam hal ini dan mereka yang gagal berbuat demikian akan berdepan tindakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ermeemarianna berkata, MBPJ juga akan memastikan semua pemegang lesen sewaan premis di pasar berkenaan mengendalikan sendiri perniagaan mereka dan tidak boleh menyewakan kepada warga asing atau pihak ketiga.

Katanya, sekiranya peniaga terlibat tidak mampu menguruskan gerai berkenaan, ia sewajarnya dipulangkan semula kepada MBPJ bagi membolehkan pihak lain yang layak diberi peluang untuk berniaga.

"Menerusi audit yang kita buat sebelum ini di Pasar Jalan Othman, terdapat 59 gerai kosong dan selepas ini kita akan membuka 30 peratus kepada golongan B40 di Taman Medan, Seri Setia dan Bukit Gasing.

"Selebihnya akan dibuka kepada penduduk atau masyarakat yang tinggal di Petaling Jaya dengan mengikut syarat ditetapkan," katanya.