KPDNHEP Kelantan rampas 8.3 tan minyak masak seludup

KPDNHEP Kelantan merampas 8.3 tan minyak masak seludup.
KPDNHEP Kelantan merampas 8.3 tan minyak masak seludup.
A
A
A

KOTA BHARU - Taktik sindiket penyeludupan minyak masak peket bersubsidi menjadikan sebuah premis tidak bernombor di Tanjung Chat di sini sebagai port rahsia terbongkar selepas diserbu anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan semalam.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP negeri, Azanizam Affendi Juri berkata, dalam serbuan jam 4 petang itu pihaknya berjaya merampas minyak masak peket yang dianggarkan berjumlah RM20,750.

"Siasatan awal mendapati, premis ini dijadikan sebagai stor simpanan sementara sebelum diseludup ke negara jiran," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut ke dalam premis berkenaan membawa kepada penemuan 8.3 tan minyak masak peket bersubsidi.

Katanya, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Jika sabit kesalahan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi boleh dikenakan ke atas mereka yang terlibat," katanya.

Azanizam berkata, beliau berharap orang ramai dapat menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan khususnya di kawasan sempadan.

Katanya, KDPNHEP Kelantan akan terus menjalinkan kerjasama dengan agensi sempadan lain bagi memastikan barang kawalan yang diseludup ke negara jiran dapat dibanteras.

Artikel Berkaitan: