Bukan saya ketuanya: Mazlan

Mazlan pada sidang akhbar selepas menyampaikan Anugerah Guru Cemerlang sempena Sambutan Hari Guru peringkat negeri di Jabatan Pendidikan Negeri Johor hari ini.
Mazlan pada sidang akhbar selepas menyampaikan Anugerah Guru Cemerlang sempena Sambutan Hari Guru peringkat negeri di Jabatan Pendidikan Negeri Johor hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri, Mazlan Bujang menafikan dakwaan kononnya beliau adalah ketua atau 'kepala' kumpulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu yang akan melompat parti.

Beliau yang juga Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri turut menafikan beliau menuntut duit sebanyak RM2 juta dan tanah seluas 20 hektar.

"Saya sendiri dituduh membuat tuntutan tidak masuk akal jika tidak mahu berpaling tadah. Sebagai orang politik yang matang saya kena lebih terbuka, tidak semua akan sokong saya.

"Saya bersumpah bukan saya kepalanya. Daripada 11 ADUN Bersatu di Johor tiada seorang pun akan melompat," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan Anugerah Guru Cemerlang sempena Sambutan Hari Guru peringkat negeri di Jabatan Pendidikan Negeri Johor hari ini.

Mengulas mengenai pendirian Bersatu Johor terhadap sokongan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad atau Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau berkata, perkara itu akan diputuskan secara rasmi selepas mesyuarat dalam talian bersama 26 bahagian Bersatu di Johor dalam masa terdekat ini.

"Sebagai Pengerusi Bersatu negeri, saya menghormati dan akur dengan keputusan bahawa Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan.

"Namun pada masa yang sama juga saya menghormati jasa dan pengorbanan Dr Mahathir yang dikenali sebagai negarawan.

"Pastinya saya tidak mahu ada provokasi terhadap jasa Dr Mahathir kepada parti dan negara.

Artikel Berkaitan:

"Saya harap Bersatu dapat bertaut kembali dan mencari jalan penyelesaian agar kita dapat bersama-sama membangun demi rakyat Malaysia," katanya.