Mercy gesa pekerja tanpa dokumen jalani ujian Covid-19

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebuah kumpulan bantuan kemanusiaan di Malaysia menggesa pekerja tanpa dokumen antara komuniti terpinggir di negara ini supaya menjalani ujian koronavirus (Covid-19).

Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia), organisasi bantuan sukarela yang menyediakan perkhidmatan perubatan dan kemanusiaan di dalam dan luar negara itu menjalankan ujian percuma ke atas kumpulan terpinggir berkenaan seperti pelarian sejak Mei.

Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata, usaha itu sebahagian daripada strategi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk ujian sasaran 'populasi yang mudah terdedah'.

Menurutnya, selain pelarian, program itu juga melibatkan penyaringan terhadap pekerja asing, namun Mercy Malaysia percaya mereka tidak menjalankan ujian terhadap pekerja yang tidak berdokumen setakat ini.

“Program semasa Mercy Malaysia tidak khusus untuk pekerja asing tanpa dokumen. Walaupun jika ada di antara mereka yang datang ke kemudahan ujian kami, kami tidak akan menolaknya,” katanya sambil menambah bahawa itu adalah etika dan tindakan kemanusiaan yang perlu dilakukan.

"Pakar menyifatkan pekerja tanpa dokumen sebagai ‘kekurangan’ dalam strategi respons Covid-19 Malaysia. Takut akan ditahan, menjadikan ramai daripada mereka bersembunyi dan perkara ini dibimbangi pegawai kesihatan kerana perbuatan itu mungkin menimbulkan situasi penularan dalam komuniti tidak dapat dikawal," katanya.

Katanya, organisasi itu tidak dapat memberi jaminan keselamatan pekerja tanpa dokumen yang datang untuk menjalani ujian tetapi meminta pihak berkuasa imigresen supaya memahami usaha untuk menjaga kesihatan awam.

"Mercy Malaysia berhasrat untuk memperluaskan operasinya dengan melibatkan komuniti lain dengan pekerja tanpa dokumen di mana sahaja di Malaysia. Bagaimanapun, kami berdepan kekurangan dana untuk melakukannya.

Artikel Berkaitan:

"Jadi apa yang dapat kami lakukan ialah merayu mereka yang tidak berdokumen ini jika kita mempunyai program seperti itu, supaya tampil dan menjalani ujian," katanya.

Dr Faizal berkata, penyaringan terhadap pekerja asing berdokumen adalah tanggungjawab majikan. Menurut anggaran Mercy Malaysia, kurang daripada 10 orang yang diuji adalah pendatang.

"Garis panduan kerajaan mengkehendaki majikan menguji pekerja asing mereka dan menyediakan pelbagai cara untuk mencegah penularan seperti tempat tinggal yang membolehkan mereka melaksanakan penjarakan sosial, mencuci tangan dan kebersihan yang baik.

"Bagaimanapun, sebilangan pekerja asing dan pelarian mengatakan beberapa majikan mengambil kesempatan terhadap pandemik ini untuk mendiskriminasikan pekerja mereka," katanya.

Sehingga kini, Mercy Malaysia menjalankan hampir 1.300 ujian ke atas pelarian, pekerja asing dan rakyat Malaysia berpendapatan rendah di Ampang. Tidak ada yang positif COVID-19 setakat ini.

Pelarian Rohingya menjadi kumpulan majoriti yang telah diuji selain dari Pakistan, Afghanistan, Syria dan Yaman, malah beberapa orang daripada mereka memberitahu Bernama bahawa ujian dilakukan kerana memerlukannya untuk bekerja.

Walaupun pelarian secara teknikalnya dilarang bekerja, mereka tidak dianggap tidak berdokumen selagi mereka berdaftar dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), namun sebilangan besar mereka menjadi buruh dengan gaji rendah.

Pelarian Rohingya, Abdul Shukur Abdul Salam berkata, majikannya tidak membenarkannya bekerja sehingga dia menjalani penyaringan.

"Saya ke sini untuk mengetahui harga di sini dan saya tidak mampu ke klinik. Mereka mahu RM350, ” katanya, sambil menambah mereka kemudian merujuknya ke Mercy Malaysia. Pekerja syarikat pembersihan itu berkata dia menyara seorang isteri dan tiga anak dengan gaji RM1,200.

Mat, yang berasal dari Surabaya, Indonesia pula kurang bernasib baik.

Dia tidak menjalani ujian melalui program Mercy Malaysia tetapi membayar RM400 bagi ujian di hospital swasta untuk terus bekerja.

"Semua orang harus membayar sendiri ujian ini," katanya merujuk kepada rakan-rakannya, yang ada di antaranya tidak berdokumen. - Bernama