Sujud syukur selepas 35 tahun

Annuar menyerahkan lesen niaga kepada Cik Nah hari ini.
Annuar menyerahkan lesen niaga kepada Cik Nah hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peniaga warga emas yang berniaga tanpa lesen perniagaan sejak 35 tahun lalu terus bersujud syukur sebaik sahaja menerima lesen berkenaan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, hari ini.

Minah Awang atau lebih dikenali sebagai Che Nah mencari rezeki dengan mengusahakan menu nasi campur, nasi kerabu dan nasi dagang di bawah nama Cik Nah Nasi Dagang menggunakan lori bergerak di Jalan Setia Bakti Bukit Damansara.

Che Nah bersyukur kerana selama ini sukar mencari rezeki dan pernah dikenakan tindakan penguatkuasaan sepanjang berniaga akhirnya dibalas dengan pemberian lesen hari ini.

"Alhamdulillah, dah lama saya idamkan (lesen niaga) ini dan akhirnya hari ini dapat juga. Saya bersyukur dan terima kasih kepada menteri (Annuar).

"Banyak kesusahan yang saya hadapi kerana tiada lesen malah pernah dikenakan tindakan saman dan lori ditarik. Boleh dikatakan lebih 10 kali saya dikenakan tindakan.

"Tapi saya hanya tawakal, saya berpegang prinsip yang ini bumi ALLAH SWT, cari makan keranaNya dan hanya tawakal kepada ALLAH," katanya.

Cik Nah melakukan sujud syukur sebaik menerima lesen niaga disampaikan sendiri oleh Annuar, di Jalan Setia Bakti di sini hari ini.
Cik Nah melakukan sujud syukur sebaik menerima lesen niaga disampaikan sendiri oleh Annuar, di Jalan Setia Bakti di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, pemberian lesen sementara kepada wanita itu adalah simbolik bahawa kerajaan sedia membantu terutama rakyat yang terkesan termasuk hilang pekerjaan akibat penularan koronavirus (Covid-19)

Artikel Berkaitan:

"Walaupun hidup susah dan kematian suami, Che Nah menjadi contoh individu yang sanggup berusaha memandu, memasak sendiri untuk hidup.

"Saya menggalakkan warga kota menjalankan perniagaan yang mahu bekerja secara halal dan mematuhi peraturan tetapi perlu memberi kerjasama kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)," katanya selepas menyerahkan lesen perniagaan kepada warga emas itu hari ini.

Cik Nah.
Cik Nah.

Katanya, Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL akan mengumumkan beberapa lokasi yang dibenarkan supaya tidak mengganggu orang ramai, kesesakan trafik serta memastikan kebersihan.

Terdahulu, Annuar yang sedang meninjau sekitar Jalan Beringin dan Jalan Setia Bakti terserempak dengan Foodtruck diusahakan warga emas itu dan dikongsikan di Facebooknya pada Selasa lalu.

Cik Nah memaklumkan telah lama berniaga namun tidak mempunyai lesen. Bagaimanapun Annuar meminta wanita tersebut terus berniaga dan urusan lesen tersebut akan diusahakan sebelum diserahkan hari ini.

Annuar (kiri) bertemu dengan Cik Nah untuk menyerahkan lesen niaga hari ini.
Annuar (kiri) bertemu dengan Cik Nah untuk menyerahkan lesen niaga hari ini.