SOP baharu peniaga dalam talian di Terengganu

Laporan Sinar Harian semalam
Laporan Sinar Harian semalam
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri akan menguatkuasakan Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu kepada online terutama yang menjalankan operasi perniagaan dari rumah.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, langkah itu bagi memastikan mereka sentiasa mematuhi aspek kebersihan dan menitikberatkan kualiti ketika penyediaan makanan.

Beliau berkata, ia berikutan perubahan trend perniagaan dengan wujudnya peniaga secara dalam talian terutama yang mengendalikan perniagaan di rumah.

"Perniagaan secara dalam talian terutama di rumah sukar dikawal terutama dari segi aspek kebersihan, jadi kita telah berbincang dengan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) untuk sediakan satu SOP baharu berhubung perkara ini.

"Setakat ini SOP masih di peringkat kajian dan kita akan umumkan dalam tempoh terdekat.

"Antara kajian dijalankan seperti suntikan tifoid dan lesen perniagaan seperti yang diwajibkan ke atas pemilik premis yang lain," katanya.

Dr Alias berkata, kajian itu perlu diteliti kerana membabitkan pelbagai aspek sebelum boleh dikuatkuasakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa keracunan puding buih meninggal dunia

Semalam, seorang daripada 99 mangsa keracunan puding buih meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah selepas 10 hari bertarung nyawa.

Artikel Berkaitan:

Wanita berusia 25 tahun dari Marang itu menghembuskan nafas terakhir di ICU jam 10.40 pagi kerana kegagalan multiorgan akibat kejutan sepsis.

Selain mangsa, seramai 98 mangsa lagi dari Kuala Terengganu dan Marang turut mengalami muntah dan cirit-birit selepas menikmati puding buih yang dibeli secara atas talian pada 22 Mei lalu.