Perodua catat jualan 7,886 kenderaan pada Mei

Jumlah berkenaan telah menambah jumlah jualan YTD kepada 52,920 unit sekali gus Perodua menguasai 41 peratus pegangan pasaran.
Jumlah berkenaan telah menambah jumlah jualan YTD kepada 52,920 unit sekali gus Perodua menguasai 41 peratus pegangan pasaran.
A
A
A

PERODUA mencatat jualan sebanyak 7,886 unit kenderaan pada Mei 2020 walaupun pasaran berdepan dengan situasi tidak menentu akibat penularan koronavirus (Covid-19).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, jumlah tersebut telah menambah jualan setakat tahun ini (YTD) kepada 52,920 unit, sekali gus menguasai 41 peratus pegangan pasaran, berdasarkan jumlah keseluruhan industri iaitu 129,401 unit.

“Situasi Covid-19 yang masih melanda ini telah memberi kesan ketara terhadap jualan kenderaan di Malaysia selama dua bulan yang lalu.

“Namun, kami bersyukur kerana dalam tempoh hanya tiga minggu sejak kami kembali beroperasi di seluruh negara, Perodua berjaya mendekati angka jualan Mac kami pra-Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jualan Mei Perodua merangkumi model Myvi sebanyak 2,612 unit, Axia (2,028), Bezza (1,820), Aruz (950) dan Alza (476).

Sebelum PKP dikuatkuasakan, Perodua berjaya menjual 8,601 unit kenderaan pada Mac.

Zainal Abidin berkata, ciri-ciri Perodua yang kompak, mampu milik, cekap bahan api, luas dan mudah dipandu menyebabkan kenderaan tersebut menjadi pilihan rakyat negara ini.

“Dalam era penjarakan sosial dan tahap kesedaran kebersihan yang tinggi, pengangkutan persendirian memainkan peranan yang lebih penting.

Artikel Berkaitan:

“Kenderaan diperlukan untuk perjalanan singkat dan dekat bagi membeli keperluan rumah malah pemandu e-hailing juga menghantar barang di samping mengangkut penumpang,” katanya.

Sementara itu, katanya, Perodua menawarkan hadiah lumayan sempena kempen Sambutan Bermakna Perodua yang berlangsung sepanjang Jun ini.

Katanya, pembeli Aruz dan varian Myvi terpilih berpeluang menerima penebusan tunai khas sehingga RM1,300 manakala pembeli model lain pula akan menerima e-baucar RM300 yang boleh ditebus untuk pembelian alat ganti dan aksesori terpilih di pusat servis Perodua.