Peralihan kerajaan tak ganggu KKM perangi Covid-19

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Peralihan tampuk pucuk kepimpinan negara tidak mengganggu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) daripada terus memerangi penularan kes Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, selepas dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin terus mengadakan perbincangan dengannya bagi memastikan penularan Covid-19 di negara ini dapat dikawal dan dibendung serta-merta.

“Hari pertama Perdana Menteri telah memanggil saya dan berbincang mengenai dua isu iaitu yang pertama mengenai rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara dan kedua golongan tabligh yang pulang ke kampung dan dijangkakan berlaku wabak di semua negeri.

“Ketika itu juga kita cuba gunakan kaedah kita dan libat urus dengan agensi lain contohnya pada 10 Mac kita maklumkan kalau boleh kita elakkan solat Jumaat kerana golongan tabligh telah pun balik ke kampung. Susulan itu negeri Perlis telah ambil tindakan tersebut dan pada 15 Mac pula kerajaan putuskan tidak ada solat Jumaat dalam tempoh dua minggu,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata demikian dalam program siaran langsung Temu Minda: Di Sebalik Tabir KKM Memerangi Wabak Covid-19 bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau juga berterima kasih kepada Perdana Menteri dan menteri berkaitan kerana mendengar hujah yang disaran KKM sehingga berjaya meyakinkan kerajaan untuk mengambil tindakan yang tidak pernah dilakukan dalam sejarah iaitu mengisytihar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342.

“Terima kasih kepada kepercayaan diberikan kepada penjawat awam, kerana apabila kita ada hujah yang kukuh dengan permodelan dan sebaginya, Perdana Menteri pun ambil keputusan untuk melaksanakan PKP yang pertama pada 18 Mac dan tindakan itu, walaupun negara jiran tidak laksanakan lagi dan kita adalah yang pertama dan cepat bertindak,” katanya.

Dr Noor Hisham percaya tindakan yang diambil kerajaan termasuk mengawal sempadan negara juga telah berjaya melandaikan lengkungan kes positif Covid-19 di negara ini, sekali gus mengalahkan unjuran JP Morgan mengenai kumulatif kes Covid-19 di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Bagi menjawab soalan Saifuddin mengenai warga kerja KKM yang meninggal dunia akibat Covid-19, Dr Noor Hisham berkata, perkara itu merupakan kebimbangan pihaknya namun menjelaskan sehingga kini tiada kematian melibatkan mereka yang bertugas di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan wad merawat Covid-19.

“Jadi kita pastikan setiap daripada warga kerja KKM memakai peralatan perlindungan diri (PPE) semasa bertugas...kawasan yang paling selamat ialah mereka yang kerja di ICU dan wad.

“Ini kerana kita juga melakukan kajian iaitu antibodi dan sebagainya di mana lebih kurang 486 warga kementerian yang bekerja di ICU dan wad apabila kita ambil darah mereka dan buat kajian, didapati tiada seorang pun dijangkiti virus itu kerana mereka menggunakan kawalan infeksi, mengamalkan kebersihan dan pastikan mereka mengguna PPE dan sebaginya,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pihaknya masih berusaha keras memerangi Covid-19 dan sentiasa mempelajari perkembangan terkini yang berlaku mengenai virus baharu itu.

Dalam temu bual itu, Saifuddin sempat menzahirkan ucapan terima kasih kepada Dr Noor Hisham yang disifatkannya sebagai ‘ensiklopedia berjalan’ dalam memerangi Covid-19 serta semua pasukan kesihatan dan petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus membendung virus itu. - Bernama