Guru, ibu bapa sambut baik sekolah dibuka semula

Menteri Kanan (Kluster Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin menunjukkan buku Garis Panduan Pengurusan Sekolah Pasca PKPB. -Foto Bernama
Menteri Kanan (Kluster Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin menunjukkan buku Garis Panduan Pengurusan Sekolah Pasca PKPB. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Guru dan ibu bapa di negara ini menyambut baik sekiranya sesi persekolahan dibuka semula dalam masa tiga minggu lagi dengan menggunapakai prosedur operasi standard (SOP) yang dijangka dikeluarkan hari ini.

Guru, Huzrin Mohd,46, berkata, beliau percaya pihak berkaitan telah mengambil kira semua aspek yang perlu bagi memastikan warga sekolah selamat daripada jangkitan pandemik koronavirus (Covid-19).

"Keutamaan yang diberikan kepada pelajar tingkatan lima dan enam adalah keputusan yang baik untuk meminimumkan risiko jangkitan.

"Namun begitu, perancangan yang baik sahaja tidak menjamin tidak akan berlaku penularan wabak tetapi walau apa-apa pun kena tunggu apabila sekolah dibuka nanti dan kita lihat pelaksanaan SOP tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Semalam, Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah akan diedarkan esok bagi membolehkan pentadbir dan guru membuat persediaan sewajarnya.

Katanya, garis panduan pergerakan pelajar di dalam sekolah bermula daripada setibanya pelajar di sekolah hingga mereka pulang, dihasilkan secara terperinci bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kita keluarkan garis panduan ini bagi melihat kaedah yang perlu dilakukan dalam konteks pembukaan sekolah dan persiapan sewajarnya harus dilakukan oleh pihak sekolah bagi memastikan bila sahaja kita umumkan pembukaan, maka setiap sekolah telah bersedia," katanya selepas lawatan kerja bagi persediaan pembukaan semula sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Engku Husain, Semenyih di sini semalam.

Mengulas lanjut, Huzrin yang mengajar pelajar tingkatan lima dan empat memberitahu, beliau percaya penambahbaikan SOP juga akan terus dilakukan dari semasa ke semasa.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, seorang lagi guru, Shahrul Amri Mohamad,41, berpendapat jumlah pelajar seharusnya tidak boleh melebihi 15 orang bagi satu-satu kelas bagi memastikan penjarakkan sosial dalam kalangan pelajar dapat dilaksanakan.

Katanya, selain itu bagi sekolah yang kekurangan kelas bagi menampung jumlah pelajar yang bakal menduduki peperiksan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), mereka seharusnya melakukan penggiliran pelajar datang ke sekolah.

“Ini bagi memastikan pihak sekolah dapat melaksanakan SOP yang digariskan oleh pihak kementerian dengan lebih berkesan.

“Pelajar juga tidak dibenarkan untuk meminjam alat tulis daripada rakan-rakan yang lain bagi mengelak sebarang kes jangkitan,” katanya.

Shahrul Amri turut mencadangkan agar pengusaha kantin sekolah turut sama memainkan peranan dalam memastikan penularan wabak Covid-19 ini dapat dielakkan ketika sesi persekolahan kembali dibuka dengan memberikan perkhidmatan menghantar makanan ke kelas-kelas.

“Ini secara tidak langsung membolehkan pelajar untuk terus kekal berada di dalam kelas sepanjang sesi persekolahan kerana sekiranya pelajar dibenarkan ke kantin, ia agak sukar bagi pihak sekolah untuk mengawal penjarakkan sosial mereka.

“Selain itu ibu bapa dan komuniti setempat juga perlu memainkan peranan masing-masing terutamanya dalam aspek penjarakkan sosial khususnya ketika menghantar anak-anak mereka ke sekolah ataupun menggunakan kemudahan pengangkutan bas sekolah,” katanya.

Dalam pada itu, bapa dua anak, Mohd Nazri Md Zain,39, berkata, pembukaan semula sesi persekolahan tidak lama lagi kepada pelajar yang akan mengambil peperiksaan penting adalah langkah tepat kerana penularan wabak Covid-19 ketika ini menunjukkan trend penurunan positif.

"Dengan mengehadkan jumlah kedatangan pelajar ke sekolah ini, ia akan mudahkan pihak sekolah untuk pastikan setiap SOP yang dilaksanakan dapat dipatuhi pelajar.

"Kita harapkan SOP yang dikeluarkan nanti ambil kira semua aspek untuk kita elakkan timbulnya penularan kluster sekolah," katanya.