Superpower kini huru-hara

Chandra
Chandra
A
A
A

INSIDEN Minneapolis terjadi pada waktu paling buruk buat golongan elit Amerika Syarikat (AS). Meskipun keganasan yang dilakukan terhadap warga kulit hitam oleh anggota polis berkulit putih pernah terjadi beberapa kali sebelum ini, kejadian yang berlaku pada saat darurat kesihatan yang meragut lebih 100,000 nyawa dan malapetaka ekonomi besar-besaran yang menyebabkan 30 juta orang kehilangan pekerjaan itu sesuatu yang belum pernah terjadi sebelumnya.

Kacau-bilau dan huru-hara yang terjadi seiring keganasan tersebut telah merebak ke beberapa bandar lain di seluruh AS.

Apa yang mencetuskan kemarahan dalam kalangan ribuan rakyat Amerika (dan bukan sahaja berketurunan Afrika) adalah bagaimana seorang orang awam berkulit hitam yang tidak bersenjata, George Floyd disyaki menggunakan wang palsu dibunuh oleh seorang anggota polis berkulit putih.

Anggota polis tersebut menekan lututnya ke leher Floyd selama lima hingga sembilan minit menyebabkannya terpaksa merayu, mengatakan dia tidak boleh bernafas sehinggalah akhirnya dia terdiam dan lemas.

Anggota polis tersebut kini didakwa atas tuduhan membunuh namun ramai penunjuk perasaan menuntut agar tiga lagi anggota polis yang bersamanya pada waktu kejadian turut dihukum.

Sekiranya terdapat kemarahan dalam kalangan rakyat Amerika yang prihatin berhubung insiden Floyd, ini kerana mereka tahu diskriminasi terhadap warga kulit hitam masih berleluasa dan ia adalah manifestasi marginalisasi lebih besar dalam komuniti.

Benar, menerusi pendidikan terdapat beberapa mobiliti bagi kumpulan dalam kelompok minoriti itu terutama dalam tempoh beberapa dekad susulan pergerakan hak asasi namun sebahagian besar segmen masih terperangkap di bawah timbunan.

Kehancuran ekonomi semasa menekankan kelemahan segmen terbabit sepertimana pandemik koronavirus mendedahkan golongan miskin dan tidak berkemampuan di AS dan lain-lain tempat lebih berkemungkinan menjadi mangsa kepada wabak ini berbanding orang lain.

Artikel Berkaitan:

Hakikat AS tidak benar-benar mampu melindungi kesejahteraan golongan miskin dan lemah dalam masyarakat nampak ketara apabila kita melihat situasi satu lagi minoriti, Hispanik.

Dalam tempoh beberapa dekad kebelakangan ini, bebanan ekonomi dan sosial mereka meningkat disebabkan ketakutan tidak rasional terhadap dakwaan cabaran demografik golongan minoriti itu kepada majoriti kulit putih.

Ketakutan ini dieksploitasi dengan jayanya oleh Donald Trump pada Pilihan Raya Presiden 2016 dan ia bakal dimanipulasi sekali lagi pada Pilihan Raya November 2020 menerusi isu-isu seperti pembinaan tembok bagi melindungi sempadan selatan AS.

Terdapat minoriti ketiga, yang berada dalam kedudukan lebih baik berbanding kedua minoriti awal tadi, ia turut menjadi objek serangan rasis dari semasa ke semasa.

Secara amnya, diklasifikasikan secara tidak rasmi sebagai Asia, mereka sering disamakan dengan rakyat Amerika berketurunan China. Sejak krisis koronavirus dan cubaan Presiden Trump menyalahkan China, gangguan terhadap warga China dan rakyat Amerika berwajah China semakin meningkat.

Penderaan secara lisan dan fizikal anggota komuniti tersebut telah sekian lama berlaku ekoran sasaran negatif terhadap China oleh beberapa elit AS berhubung pelbagai isu bermula dari perdagangan dan teknologi dan dakwaan pelanggaran hak asasi manusia dan penindasan minoriti.

Walaupun kajian bebas mendedahkan banyak penyelewengan dan tokok tambah dalam tuduhan tersebut, ia kelihatan memberi kesan terhadap rakyat biasa Amerika menerusi komuniti dan media sosial.

Soal mengapa China menjadi sasaran keji seumpama itu, tidak sukar untuk difahami. Golongan elit AS dan sebahagian media melihat peningkatan China sebagai cabaran kepada dominasi dan kawalan AS terhadap dunia atau hegemoni AS, oleh itu mereka bertekad untuk mencemarkan dan menumbangkan China.

Negara-negara lain yang berfikiran bebas dan tidak mahu tunduk kepada kuasa AS turut sering menjadi sasaran. Adakala prejudis terhadap agama atau komuniti etnik tertentu.

Ia terbukti dengan sikap sebahagian segmen masyarakat AS terhadap Islam dan Muslim cenderung untuk mengganggu hubungan antara komuniti. Usaha hegemoni global AS menjejaskan hak asasi dan kepentingan jutaan rakyat AS dalam pelbagai cara.

Dengan berbelanja banyak ke atas ketenteraan, pada tahun 2019 ia menelan kos AS$732 bilion dan menyelenggara kira-kira 800 pangkalan tentera di seluruh dunia, AS telah mengorbankan keperluan penting rakyatnya seperti hospital penuh kelengkapan dan juga sekolah.

Pengabaian ekonomi dan hak sosial rakyat menjadi realiti tragik kepada semua pada saat negara berdepan krisis kesihatan dan ekonomi besar-besaran.

Memandangkan kekayaannya, kegagalan AS untuk meningkatkan hak jutaan rakyatnya termasuk golongan kelas bawah dalam kalangan majoriti kulit putih adalah satu jenayah.

Dalam arena domestik dan politik antarabangsa, ia merupakan hipokrasi tertinggi golongan politik elit AS dalam menggambarkan diri sebagai jaguh hak asasi manusia dan pemerintahan demokrasi.

Dalam beberapa kejadian politik antarabangsa Iran 1953; Chile 1973; Palestin 2006; dan Mesir 2013, golongan elit terbabit secara langsung terlibat dalam penindasan dasar demokrasi.

Hari ini, melalui dua krisis yang telah melanda kuasa besar itu dan kemarahan yang dipamerkan di jalan-jalan negara itu oleh rakyat biasa daripada pelbagai lapisan, kemarahan yang berpunca daripada penghinaan dan cemuhan yang dilemparkan kepada rakyat berkurun lamanya.

Kebenaran tentang kurangnya rasa hormat golongan elit terhadap hak asasi manusia dan maruah manusia didedahkan kepada semua. Adakah ini akan akan membawa kepada pencarian jiwa yang tulus dalam kalangan orang muda Amerika?

**Dr Chandra Muzaffar ialah cendiakawan sains politik dan Presiden Gerakan Keadilan Sedunia (JUST)