Jalan akhir minta bantuan kerajaan

Sadek Mustaffa
Sadek Mustaffa
A
A
A

SEMUA pasukan negeri dan kelab saingan Liga Malaysia (Liga-M) perlu bersatu mengemukakan permohonan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meminta dana daripada kerajaan supaya dapat meneruskan kelangsungan dalam industri bola sepak negara.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Sadek Mustaffa berkata, masalah kewangan yang dihadapi pasukan ketika ini hanya boleh dibantu oleh kerajaan menerusi dana yang disalurkan kepada setiap pasukan yang bertanding.

“Kalau nak diikutkan bukan hanya bola sepak terkesan, semua sukan juga terkesan dengan masalah ekonomi akibat kesan domino pandemik Covid-19 ini.

“Bola sepak menjadi sukan yang paling terkesan kerana melibatkan organisasi yang besar dan merupakan sukan nombor satu di negara ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, semakin banyak pasukan sudah mula menyatakan mereka menghadapi masalah kewangan kerana mereka tidak mampu mejana dana kerana ketiadaan perlawanan.

“Dalam keadaan ini, sukar untuk mencari penaja yang boleh menyuntik sumbangan melainkan dengan bantuan kerajaan kerana hanya kerajaan yang mampu mengimbangi keadaan yang dihadapi ketika ini melalui konsep ekonomi 'helicopter drop'.

“Setiap pasukan perlu bersuara dalam satu suara sama ada yang bermasalah atau tidak memohon di bawah KBS supaya kerajaan dapat memberi setiap pasukan sedikit dana untuk meneruskan kelangsungan perjalanan tahun ini.

"Tetapi, janganlah harapkan bulan dan bintang, cukuplah dana untuk menampung masalah kewangan yang ada,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Laporan Sinar Harian semalam.
Laporan Sinar Harian semalam.

Terdahulu, beberapa pasukan berstatus gergasi bola sepak negara dilaporkan mula menghadapi masalah kewangan sepanjang tempoh penangguhan liga sehingga menyebabkan gagal membayar gaji pemain dan pegawai pasukan.

Sadek berkata, keadaan dijangka bertambah teruk sekiranya liga bersambung semula September depan dengan kos perlu ditanggung setiap pasukan.

“Setiap pasukan sudah menerima dana awal pada permulaan saingan liga Februari lalu. Jadi, dana itu sudah tentu untuk menampung beberapa lagi perlawanan akan datang seperti yang ada dalam kontrak.

“Macam mana pasukan mahu meminta dana lagi daripada penaja selain wang itu telah digunakan untuk membeli pemain. Nak cari penaja lain pun susah dalam keadaan terdesak ketika ini,” katanya.