Apa sudah jadi Amerika?

Polis AS melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah bagi menyuraikan protes di Seattle. - Foto AFP
Polis AS melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah bagi menyuraikan protes di Seattle. - Foto AFP
A
A
A

REPUTASI Amerika Syarikat (AS) sebagai jaguh hak asasi manusia tercalar gara-gara protes antipolis yang semakin memuncak di negara itu sejak lebih seminggu lalu.

Umum sudah mengetahui, protes besar-besaran di segenap pelosok AS itu tercetus susulan kematian lelaki kulit hitam, George Floyd.

Floyd menemui ajal selepas lehernya ditekan menggunakan lutut selama hampir sembilan minit oleh seorang pegawai polis berkulit putih, Derek Chauvin dalam insiden yang mencetuskan kemarahan ramai di Minneapolis.

Persoalan yang timbul kini, adakah AS benar-benar mengangkat isu hak asasi manusia atau hanya bersuara apabila terdapat pencabulan hak asasi di negara luar?

Sebagai contoh, AS negara paling lantang bersuara terhadap polis Hong Kong yang dituduh menggunakan kekerasan melampau ketika menyuraikan penunjuk perasaan prodemokrasi sambil menyifatkan tindakan itu sebagai tidak berperikemanusiaan dan secara terang-terangan melanggar hak asasi manusia.

Lebih hebat lagi apabila Presiden AS, Donald Trump pada tahun lalu menandatangani Rang Undang-Undang (RUU) menyokong penunjuk perasaan di Hong Kong dan mengancam China dengan kemungkinan sekatan terhadap hak asasi manusia.

Hak Asasi Manusia Hong Kong dan Akta Demokrasi yang diluluskan Senat dan Dewan, meletakkan Hong Kong di bawah undang-undang AS dan di bawah pengawasan ketat yang berkaitan dengan wilayah autonomi dari Beijing.

RUU kedua yang juga ditandatangani Trump melarang eksport senjata kepada polis Hong Kong antaranya gas pemedih mata, semburan lada, peluru getah dan senjata api.

Artikel Berkaitan:

Apa pun, situasi sudah berbalik kepada AS atau lebih tepat terkena batang hidung sendiri.

Tatkala AS sibuk menghalang penggunaan gas pemedih mata, semburan lada dan peluru getah di negara lain atas nama hak asasi manusia, situasi sama pula melanda negara itu.

Sepanjang minggu lalu, polis AS dirakam menggunakan kekerasan melampau ketika menyuraikan peserta protes di New York dan beberapa bandar besar lain.

Malah, penggunaan gas pemedih mata juga seperti satu kemestian ketika berhadapan dengan penunjuk perasaan.

Bukan itu sahaja, polis AS turut menyasarkan pengamal media yang turun membuat liputan.

Sebagai contoh, koresponden CNN, Omar Jimenez yang membuat liputan protes kematian Floyd di Minneapolis ditahan ketika sedang bersiaran langsung.

Terdapat puluhan insiden serangan terhadap wartawan sepanjang minggu lalu. Ada yang ditembak menggunakan gas pemedih mata, ada pula yang ditembak dengan peluru getah.

Namun bagi pentadbiran Trump, tindakan polis tidak menyalahi undang-undang dan sudah semestinya bukan perbuatan yang melanggar hak asasi manusia.

Harus diingat, setiap kali berlakunya pelanggaran hak asasi manusia di negara seperti Venezuela, Iran dan China, Amerikalah negara paling lantang mahu kerajaan terbabit ditukar.

Namun, sehingga sekarang tiada kedengaran daripada pemimpin Barat yang mencadangkan pentadbiran Trump ditukar kerana gagal menangani pelanggaran hak asasi manusia di negara sendiri.