X

Kindly register in order to view this article
!

Kebenaran masuk ke Sabah untuk jana ekonomi

Mohd Shafie Apdal
A
A

KOTA KINABALU - Keputusan kerajaan negeri untuk membuka semua laluan pintu masuk ke Sabah bertujuan bagi menghidupkan semula sektor ekonomi yang terjejas berikutan pandemik Covid-19 sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan pada 18 Mac lalu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagaimanapun berkata, kebenaran itu tertakluk kepada tahap kesihatan individu berkenaan yang perlu mempunyai surat pengesahan daripada Kementerian Kesihatan yang mengesahkan bahawa mereka bebas daripada virus Covid-19.

“Sebelum ini kita tidak menggalakkan mereka untuk datang (ke Sabah) tidak kira positif atau negatif (Covid-19), tetapi kini kita benarkan mereka datang sama ada untuk berniaga, mengajar, mencari pekerjaan, penjawat awam dan bukan penjawat awam atau ‘makan angin’, itu terserah kepada mereka, yang penting kita hanya perlu tahu mereka negatif Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi SabahTrace di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata, dengan pendekatan secara berperingkat itu diharap akan dapat membantu menjana semula permintaan dalam sektor perhotelan sekali gus membantu menjana pendapatan bagi sektor e-hailing, pertanian dan ekosistem sektor lain yang terlibat sejak operasi perniagaan dibenarkan bermula pada 9 Mei lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Sabah benarkan semua perjalanan masuk dari Semenanjung

Mengenai aplikasi SabahTrace itu, Mohd Shafie berkata, sehingga 2 Jun ini, sebanyak 4,446 premis di negeri ini telah berdaftar selepas diperkenalkan pada 18 Mei lalu dan mencatatkan seramai 267,775 jumlah daftar masuk menggunakan aplikasi itu.

Beliau berkata, melalui aplikasi itu, pengguna perlu mengisi nama, nombor telefon serta suhu badan setiap kali masuk ke premis yang menggunakan kod QR dan maklumat pengguna akan disimpan dalam aplikasi itu bagi tempoh sebulan.

Katanya aplikasi yang dibangunkan oleh Bahagian Kerajaan Digital negeri ini adalah sebahagian daripada usaha untuk menambah baik keupayaan pengesanan kontak (Covid-19) melalui teknologi digital serta analisis data.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Shafie berkata, di bawah pakej ‘Sabah We Care Covid-19’, kerajaan negeri telah menghulurkan sumbangan berjumlah RM158.4 juta kepada 760,454 penerima yang terdiri daripada pelbagai agensi, jabatan dan kementerian yang terkesan dengan sepanjang tempoh PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berlangsung. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus