Jadikan Amerika Syarikat sebagai pengajaran

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

RUSUHAN ganas yang berlaku di lebih 50 bandar sekitar Amerika Syarikat sejak Selasa minggu lalu akibat kematian seorang penduduk kulit hitam, George Floyd di tangan anggota polis kulit putih, Derek Chauvin seharusnya menjadi pengajaran kepada seluruh dunia.

Akibat daripada kematian tersebut, ratusan ribu rakyat negara itu turun ke jalanan dan memprotes secara aman, namun segelintir daripada mereka mengambil kesempatan dengan menyerang dan memecahkan kedai-kedai.

Tindakan mereka memecahkan kedai dan mencuri barang sudah lari daripada matlamat asal iaitu menuntut keadilan di atas kematian Floyd. Apapun alasan seperti kemerosotan ekonomi dan 40 juta telah hilang pekerjaan tidak boleh dijadikan sebab untuk mereka merosakkan harta benda.

Merak Jalanan bersyukur keadaan seperti itu tidak pernah dibayangkan berlaku di Malaysia. Alhamdulillah, walaupun negara kita juga terkesan akibat daripada kejatuhan ekonomi dunia dan wabak koronavirus, rakyat kita masih waras dan tidak melakukan perkara seperti itu. Di Malaysia, anggota polis disanjung tinggi dan dihormati di mata rakyat.

Pada hujung Februari lalu, negara kita menghadapi krisis politik yang parah. Negara kita tiada Perdana Menteri untuk beberapa hari namun rakyat kita tidak risau dengan keadaan itu. Jentera kerajaan terus bergerak seperti biasa.

Dalam tempoh krisis politik itu, kita semua bebas bergerak dan bekerja seperti biasa. Merak Jalanan pun boleh pergi berjalan-jalan tanpa memikirkan sebarang ketidakstabilan contohnya seperti rusuhan atau tentera mengambil alih jalan-jalan raya. Semuanya aman tanda kematangan rakyat Malaysia.

Oleh itu, kita perlu mengambil iktibar kepada apa yang berlaku di Amerika Syarikat sekarang. Keadilan, rapatkan jurang ekonomi, pendidikan dan sosial adalah antara kunci penting kepada keamanan negara.

Artikel Berkaitan: