Cuti sekolah paling panjang hampir tamat

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

GARIS Panduan Pengurusan Pembukaan Semula Sekolah yang akan diedarkan hari ini bagi membolehkan pentadbir dan guru membuat persediaan sewajarnya bagi menjamin keselamatan dan kesihatan pelajar daripada wabak koronavirus atau Covid-19 adalah perkara yang amat penting dan wajib diikuti.

Sejak 15 Mac lalu, sudah 82 hari para pelajar tidak hadir ke sekolah akibat daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun pada tempoh itu guru-guru masih bertugas dengan mengedarkan kerja latihan secara dalam talian.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin semalam berkata, garis panduan pergerakan pelajar di dalam sekolah bermula daripada setibanya pelajar di sekolah hingga mereka pulang. Ia telah dihasilkan secara terperinci bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bagaimanapun, tarikh pembukaan sekolah masih belum diumumkan lagi.

Di negara seperti Jepun dan Korea Selatan yang telah pun membuka sekolah lebih awal bulan lepas, mereka telah menetapkan beberapa prosedur antaranya pemeriksaan suhu badan di pintu masuk sekolah dan setiap meja disediakan pelindung plastik serta setiap tempat duduk dijarakkan satu atau dua meter.

Selain itu, Jepun juga membahagikan pelajar setiap sekolah kepada tiga kumpulan dan kumpulan ini hadir ke sekolah pada waktu yang berbeza bagi mengurangkan kesesakan. Mungkin prosedur ini boleh digunakan Malaysia jika mahu membuka sekolah secara sepenuhnya.

Ibu bapa juga memainkan tugas penting bagi mengurangkan risiko jangkitan contohnya seperti menyediakan bekal kepada anak-anak mereka setiap hari. Pelajar yang bergejala juga tidak perlu hadir ke sekolah dan ibu bapa hendaklah sentiasa peka dengan kesihatan anak-anak mereka.

Sebelum tiba di sekolah, pihak berwajib juga perlu melihat prosedur terhadap pelajar yang datang menggunakan van ataupun bas. Operator perkhidmatan ini juga perlu memeriksa suhu badan pelajar sebelum membenarkan mereka naik.

Artikel Berkaitan:

Jika semua garis panduan diikuti oleh semua pihak, insya-ALLAH wabak ini tidak merebak di sekolah-sekolah walaupun kebimbangan tetap ada.