Protes ganas merebak di Paris

Kumpulan penunjuk perasaan bertindak membakar pelbagai objek ketika protes ganas antirasisme yang merebak di Paris semalam. - Foto AFP
Kumpulan penunjuk perasaan bertindak membakar pelbagai objek ketika protes ganas antirasisme yang merebak di Paris semalam. - Foto AFP
A
A
A

PARIS - Satu pertempuran ganas tercetus antara polis dan penunjuk perasaan di ibu negara semalam apabila kira-kira 20,000 penunjuk perasaan membantah kematian lelaki kulit hitam dalam tahanan polis pada 2016.

Demonstrasi yang turut melanggar peraturan berhimpun yang dikuatkuasakan bagi membendung koronavirus (Covid-19) itu diadakan selepas dua laporan perubatan berasingan dikeluarkan berhubung punca kematian Adama Traore.

Tunjuk perasaan mengutuk kekejaman polis itu bermula di luar mahkamah di utara Paris sebelum bertukar ganas apabila segelintir peserta protes mula mencetuskan kebakaran hingga memaksa pihak berkuasa menggunakan gas pemedih mata untuk menyuraikan mereka.

Mereka turut menggunakan slogan ‘I can’t breathe’ (Saya tidak boleh bernafas) dan Black Lives Matter (nyawa orang kulit hitam penting) yang digunakan gerakan antirasisme di Amerika untuk menuntut keadilan atas kematian Traore.

Menteri Dalam Negeri, Christope Castaner dalam satu kenyataan menegaskan keganasan tiada tempat dalam demokrasi.

“Tindakan seperti itu tidak boleh diterima terutamanya apabila mereka melanggar peraturan yang dikuatkuasakan untuk melindungi kesihatan orang ramai,” ujarnya menerusi Twitter.

Penunjuk perasaan menjadikan gerakan protes di AS yang mengecam tindakan kekerasan polis hingga menyebabkan kematian lelaki kulit hitam, George Floyd sebagai inspirasi untuk melakukan bantahan sama yang diadakan di Lille, Marseille dan Lyon. - AFP

Artikel Berkaitan: