X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga beranak tinggal di atas bukit tanpa bekalan air, elektrik

Noraini memindahkan air ke dalam botol plastik untuk kegunaan harian.
A
A

ALOR GAJAH - Makan dan minum menggunakan air hujan antara kedaifan dilalui tiga beranak yang menjalani kehidupan harian tanpa kemudahan asas iaitu air dan elektrik di Kampung Bukit Palas, Solok Air Budi Lendu, sejak lebih 20 tahun lalu.

Lebih perit, Noraini Ramli, 48, dan suaminya, Muhanad Md Diah, 49, terpaksa mengharungi laluan berbukit yang sempit selama kira-kira setengah jam berjalan jika hendak keluar dari kawasan itu yang terletak di atas bukit dan masih dikelilingi hutan.

"Disebabkan tiada bekalan elektrik kami menggunakan janakuasa dan pernah beberapa kali alat itu rosak hingga menyebabkan kami terpaksa menggunakan lilin atau pelita sahaja.

"Kemudahan air pun tiada. Jadi kami mengharapkan air hujan untuk memasak dan sebagainya," kata Noraini.

Pasangan suami isteri itu mendiami rumah tersebut bersama seorang anak mereka yang berusia 17 tahun selepas Muhanad membeli tanah seluas 0.8 hektar itu daripada salah seorang saudara rapatnya.

Noraini merenung nasibnya yang hidup tanpa kemudahan asas sejak hampir 20 tahun lalu.
Noraini merenung nasibnya yang hidup tanpa kemudahan asas sejak hampir 20 tahun lalu.

"Setiap kali hujan adalah waktu paling sukar dan agak mencabar kerana jalan untuk ke rumah jadi licin.

"Kami pun tak tahu sampai bila begini. Apabila kami cuba panjangkan permasalahan ini, ada pihak yang memerli kami dan memberi cadangan supaya kami jual tanah ini tetapi ini sahaja rumah kami nak berlindung," katanya sedih.

Menurut Noraini, mereka sekeluarga menyambut Aidilfitri cuma ala kadar apatah lagi suaminya kini menoreh getah selepas berhenti bekerja sebagai pemandu lori, tahun lalu.

Katanya, dia dan suami pernah beberapa kali menyuarakan permasalahan kepada pihak tertentu, namun setakat ini belum ada yang tampil membantu meringankan bebanan mereka.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna dan Alam Sekitar Melaka, K Murali yang mengunjungi keluarga itu berkata, beliau begitu terkejut apabila mengetahui masih ada keluarga yang tinggal tanpa mempunyai kemudahan asas pada zaman yang serba moden ketika ini.

"Sebagai NGO kita akan menolong membaik pulih rumah usang ini dan melakukan pendawaian elektrik.

"Pada masa sama membuat permohonan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi memastikan bekalan elektrik sampai ke rumah mereka," katanya.

Muhamad (kiri) dan Noraini (kanan) ketika menerima lawatan Murali di rumah mereka di 
Kampung Bukit Palas, Solok Air Budi Lendu.
Muhamad (kiri) dan Noraini (kanan) ketika menerima lawatan Murali di rumah mereka di Kampung Bukit Palas, Solok Air Budi Lendu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus