X

Kindly register in order to view this article
!

Taska boleh mula beroperasi, ikut panduan diberikan

Rina Harun
A
A

PUTRAJAYA - Taska-taska sudah boleh beroperasi dengan berpandukan kepada Panduan Pencegahan Penularan Covid-19, Pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bagi Keselamatan Warga Taman Asuhan Kanak-kanak, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata, panduan itu telah dibentangkan dan mendapat kelulusan dari Kementerian Kesihatan (KKM) serta telah ditambah baik dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak dan demi kesejahteraan mereka yang terlibat.

Menurutnya, panduan yang dibangunkan itu meliputi panduan menyeluruh pengoperasian taska, bermula daripada persediaan untuk membuka semula taska, semasa taska beroperasi, dan selepas selesai sesi harian tersebut.

“Pengusaha taska adalah dinasihatkan agar merujuk kepada Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan terlebih dahulu, bagi dibuat verifikasi sebelum mula beroperasi,” katanya.

Bagi memastikan agar pengusaha taska mematuhi prosedur operasi standard (SOP) tersebut, Rina berkata, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan KKM, akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa ke atas taska yang telah mula beroperasi.

“Diharapkan dengan pembukaan semula taska ini, dapat memberi kelegaan kepada para ibu bapa yang bekerja, yang sebelum ini terkesan dengan penutupan taska akibat pandemik Covid-19 dan PKP,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus