Lonjakan strategik TUDM

TUDM -Foto Bernama
TUDM -Foto Bernama
A
A
A

MELALUI Perutusan Khas sempena Hari Ulang Tahun TUDM ke-62 yang bertemakan ‘Berupaya Bersiaga, Kedaulatan Terjaga’, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengumumkan penubuhan sebuah skuadron untuk pengoperasian sistem pesawat tanpa pengendali (Unmanned Aircraft System atau UAS) dalam tempoh terdekat.

Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad mengumumkan bahawa skuadron UAS ini akan mengambil alih perjawatan No 11 Skuadron yang ketika ini dikhususkan bagi pesawat Sukhoi SU-30MKM. Skuadron SU-30MKM akan diperjawatkan dengan No 12 Skuadron.

Keputusan TUDM menubuhkan skuadron baharu untuk sistem pesawat tanpa pengendali (UAS) ini cukup strategik dalam memperkasakan keupayaan serta memelihara kedaulatan kita.

Secara khusus, langkah ini akan berpotensi mengimpak domain maritim kita secara khusus di mana sinergi strategik antara TUDM dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) boleh dikembangkan ke arena aplikasi dron.

Untuk rekod, TLDM sebelum ini baru sahaja menerima enam daripada 12 buah pesawat tanpa pemandu (UAV) melalui inisiatif keselamatan maritim kerajaan Amerika Syarikat (MSI).

Pakej UAV ScanEagle itu dibina oleh Insitu, anak syarikat Boeing Co., dan bakal meningkatkan keupayaan pengumpulan maklumat risikan, pengawasan dan peninjauan keselamatan dan maritim kita.

Malah, Panglima TUDM sendiri dalam perutusan khas beliau turut menyentuh secara terbuka mengenai aset-aset TUDM yang telah diatur gerak bagi tujuan pengawasan dan rondaan udara di domain perairan negara seperti di Selat Melaka, Laut China Selatan serta Laut Sulu.

Terkini, pada April lalu sinergi TUDM-TLDM memainkan peranan kritikal dalam membanteras kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Artikel Berkaitan:

Ia bermula hasil tindakan pantas pesawat C-130H TUDM daripada No 20 Skuadron yang diterbangkan oleh Mejar Faizul Hussein yang mengesan kehadiran sebuah bot PATI Rohingya 70 batu nautika (129.6KM) dari barat Pulau Langkawi.

TUDM kemudiannya menghubungi kapal TLDM iaitu KD Lekiu dan KD Lekir yang telah berjaya memintas bot berkenaan dengan bantuan helikopter Super Lynx TLDM.

Potensi

Kerjasama erat TUDM-TLDM sebelum ini turut dipamerkan melalui siri Eksesais ANGSA. Maka, pewujudan skuadron khas untuk UAS TUDM bakal menjanjikan dimensi baharu untuk aplikasi dron secara bersama dengan TLDM dalam memelihara kedaulatan maritim kita yang bukan sahaja berdepan pencerobohan PATI, tetapi juga nelayan asing serta kapal-kapal pengawal pantai dan kapal perang kuasa besar di perairan kita.

Peristiwa gangguan kapal pengawal pantai China menggunakan kapal hidrografi Haiyang Dizhi 8 ke atas operasi kapal eksplorasi West Capella yang dikontrak Petronas sejak Disember 2019 hingga Mei 2020 antara yang wajib diberi perhatian.

Penubuhan Skuadron UAS TUDM dan penerimaan dron ScanEagle dari AS buat TLDM seharusnya turut disertai dengan pemerolehan aset baharu yang boleh memperkasa potensi aplikasi dron dalam memelihara integriti wilayah perairan kita.

Dalam perutusan khas beliau, Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Ackbal Abdul Samad turut menyentuh mengenai pelan transformasi Air Force Next Generation bagi tempoh 10 tahun yang bakal berakhir pada penghujung tahun 2020 ini dan ia bakal diganti dengan satu pelan strategik yang baharu iaitu Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55) yang akan bermula pada Januari 2021.

Pelan strategik CAP55 ini merupakan pelan jangka panjang iaitu selama 35 tahun yang merangkumi dimensi pembangunan keupayaan, penstrukturan semula aset ketumbukan dan sumber manusia.

Sebagai rakyat Malaysia, kita bukan sahaja mengharapkan program penggantian aset TUDM yang kritikal seperti pemerolehan pesawat pejuang multi-role combat aircraft (MRCA) yang baharu tetapi juga pemerolehan aset dron yang kredibel dengan penubuhan Skuadron UAS TUDM.

* Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda.