X

Kindly register in order to view this article
!

Liga-M berkemungkinan bermula awal

Saingan Liga-M ditangguhkan sejak 16 Mac lalu berikutan pandemik Covid-19. - Foto FB FA Selangor
A
A

SETIAUSAHA Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, terdapat kemungkinan aktiviti profesional bola sepak termasuk Liga Malaysia (Liga-M) kembali lebih awal dari dijangkakan.

Buat masa ini, FAM sedang menyediakan dua kertas kerja melibatkan pendekatan latihan berdasarkan kuarantin untuk pasukan kebangsaan dan sesi latihan untuk kelab-kelab dalam Liga-M untuk dihantar kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) minggu depan.

Dengan perkembangan terkini Covid-19 di dalam negara, Stuart tidak menolak kemungkinan kelab bola sepak boleh kembali berlatih seawal Julai sebelum liga bermula pada Ogos sekiranya angka kes positif Covid-19 terus menurun dalam masa terdekat.

“Ya, jika anda melihat perangkaan kes, besar kemungkinan (liga disambung balik awal), tetapi kami akan tetap bersabar. Bagaimanapun, sekiranya banyak sektor mula dibuka, angka (kes) mula menurun dan kami boleh melihat bola sepak dimainkan kembali tidak lama lagi.

"Bagaimanapun, rancangan kami adalah liga kembali berlatih dalam Ogos dan bermain dalam September. Jadi, tarikh akhirnya begitu, tetapi kalau lebih cepat lebih baik untuk semua orang," katanya hari ini.

FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (LFM) menggantung semua aktiviti bola sepak mereka sejak 16 Mac lalu berikutan pandemik Covid-19 selain daripada mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam Mesyuarat Khas Kementerian dalam Pelaksanaan PKP bulan lalu, permohonan MFL untuk menyambung semula pertandingan pada Ogos dan sesi latihan pasukan dalam Julai tidak diluluskan.

Beberapa negara antaranya Korea Selatan, Itali dan Jerman yang mencatatkan jangkitan Covid-19 yang lebih tinggi dari Malaysia sudah mula melonggarkan peraturan mengenai liga bola sepak profesional mereka.

Liga Korea (Liga-K) adalah pertandingan liga bola sepak pertama disambung kembali diikuti Liga Vietnam (Liga-V) dan Bundesliga, Jerman bulan lalu sementara La Liga, Sepanyol dijadual disambung kembali pada 11 Jun ini sementara Liga Perdana Inggeris dan Serie A Itali, masing-masing akan disambung kembali pada 17 dan 20 Jun ini. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!