Covid-19: Kelantan kembali zon hijau

Perkongsian di Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan menunjukkan negeri itu berada di zon hijau.
Perkongsian di Facebook Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan menunjukkan negeri itu berada di zon hijau.
A
A
A

KOTA BHARU - Kelantan kembali kepada zon hijau selepas kes ke-156 disahkan positif pandemik koronavirus (Covid-19) di negeri itu iaitu seorang wanita mengandung telah sembuh dari wabak tersebut.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, wanita berkenaan yang menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II itu sudah tidak dirawat sebagai pesakit Covid-19.

“Bagi rawatan masalah Covid-19 kita sudah discaj, tetapi sekarang kita rawat untuk kandungannya dan tiada kaitan dengan Covid-19,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Sebelum ini juga kandungan yang berusia lebih kurang 37 minggu tersebut disahkan negatif jangkitan Covid-19.

Bagi perkembangan terbaharu, di Kelantan hari ini juga tiada mencatatkan sebarang kes Covid-19 baharu dan kekal dengan tiga kematian.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin menerusi perkongsian beliau di Facebook rasminya bersyukur dengan kesembuhan pesakit tersebut.

“Alhamdulillah, negeri Kelantan kekal tiada kes baru positif Covid-19 pada hari ini. Terdapat satu kes (ke 156) sembuh hari ini menjadikan Kelantan kini bebas dari Covid-19,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan semua bahawa negeri belum bebas sepenuhnya dari pandemik Covid-19 meskipun Kelantan tidak merekodkan kes baharu.

Artikel Berkaitan:

“Patuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan amalkan penjagaan kebersihan diri selain mengutamakan penjarakan sosial demi kebaikan bersama. Kita Jaga Kita,” katanya.