Melaka benarkan makan di premis sempena angkat sumpah TYT

Sulaiman Md Ali
Sulaiman Md Ali
A
A
A

MELAKA TENGAH - Sempena istiadat mengangkat sumpah jawatan Yang Dipertua Negeri Melaka, kerajaan negeri membenarkan semua restoran dan kedai makan beroperasi sepenuhnya dalam premis bermula Jumaat ini.

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, kebenaran itu termasuk restoran mamak, medan selera, pusat penjaja, kedai makan tepi jalan berbumbung, kiosk serta kafe di hotel telah dibenarkan untuk makan dalam premis, namun sajian bufet masih tidak dibenarkan.

Menurutnya, sementara itu, bagi perniagaan, penjajaan tanpa premis seperti kenderaan saji 'food truck', penjaja beredar dan penjaja tepi jalan sementara kekal untuk operasi secara bawa pulang makanan dan penghantaran sahaja seperti mana mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, kebenaran beroperasi juga hanya terhad sehingga jam 10 malam termasuk bagi premis yang dibenarkan beroperasi 24 jam sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac lalu.

"Kerajaan Melaka melalui Mesyuarat Jawatankuasa Khas Koronavirus (Covid-19) Negeri yang telah dipengerusikan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Ghafaar Atan telah membuat keputusan itu.

"Kebenaran ini akan berkuat kuasa mulai 5 Jun ini sempena Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Yang Dipertua Negeri Melaka Ke-7," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu berkata, susun atur dalam premis mestilah mematuhi SOP dengan mengekalkan jarak dua meter antara meja bagi membolehkan penjarakkan sosial sekurang-kurangnya satu meter.

"Selain itu, setiap meja tidak melebihi empat orang dan premis perlu menyatakan dengan jelas bilangan pelanggan yang dibenarkan pada satu-satu masa untuk memenuhi keperluan penjarakkan sosial," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerajaan negeri prihatin dengan nasib rakyat yang terkesan dengan penularan wabak Covid-19 hingga menyebabkan sebahagian daripada mereka kehilangan pendapatan terutama yang bekerja sendiri dan bergaji harian.

Katanya, keputusan itu diputuskan setelah keadaan semasa wabak Covid-19 di Melaka ketika ini menunjukkan tahap yang semakin baik dengan jumlah kes positif hanya mencatatkan satu angka sejak beberapa minggu lalu.

"Kami berharap dengan kebenaran terbaharu ini akan dapat merancakkan semula aktiviti ekonomi di negeri ini terutama dalam sektor makanan dan minuman," katanya.