Perak peruntuk RM400,000 atasi hakisan tanah di Taman Silibin Indah

Ahmad Faizal ketika meninjau keadaan runtuhan tanah di Taman Silibin Indah, Ipoh di sini hari ini.
Ahmad Faizal ketika meninjau keadaan runtuhan tanah di Taman Silibin Indah, Ipoh di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Sejumlah RM400,000 diperuntukkan kerajaan Perak bagi menangani masalah hakisan tanah di Taman Silibin Indah di sini yang menjejaskan 10 kediaman penduduk sejak 14 Mei lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, peruntukan itu disalurkan bagi membolehkan kerja-kerja awal baik pulih struktur tanah dilakukan dengan segera.

"Dalam mesyuarat Exco hari ini, saya telahpun memberikan kelulusan sepenuhnya dengan peruntukan agak besar untuk kerja-kerja menguatkan tanah di kawasan runtuhan ini.

"Kita berpandangan akan ada lagi kerja-kerja lain yang belum dapat kita nilaikan sekarang, tetapi peringkat awal ini RM400,000 diluluskan kerana kita nak pastikan tidak akan ada lagi pergerakan tanah berlaku," katanya selepas meninjau lokasi kejadian di sini hari ini.

Beliau berkata, dalam tempoh kerja baik pulih ini dilakukan, penduduk terjejas dinasihatkan untuk berpindah sehingga kawasan di situ benar-benar disahkan selamat.

Katanya, kerajaan negeri juga bersedia menimbang bantuan-bantuan lain yang diperlukan bagi meringankan beban.

"Jika kerja-kerja ini memerlukan jangka masa agak panjang, tentunya kita akan cari jalan bantu, tetapi sekiranya tidak, maka kita lihatlah bentuk bantuan lain yang boleh diberikan.

"Bagaimanapun, hasil perbincangan dengan wakil penduduk, ramai merasakan mereka masih boleh tinggal di sini," katanya.

Artikel Berkaitan: