RUU pemandu mabuk perlu disegerakan

Kui Lun (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan tunai kepada Zahlawati di Bukit Antarabangsa.
Kui Lun (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan tunai kepada Zahlawati di Bukit Antarabangsa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun berharap Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 terhadap pemandu mabuk dapat dibentangkan di Parlimen pada Julai ini.

Menurut Kui Lun, sebelum ini kerajaan Pakatan Harapan di bawah bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dalam usaha memperketatkan hukuman ke atas pemandu mabuk, namun tidak sempat dibawa ke Parlimen.

"Saya berharap kerajaan sekarang meneruskan usaha RUU itu dan diluluskan supaya dapat digunakan dalam kadar segera di Malaysia.

"Memperketatkan hukuman antara usaha mengurangkan kemalangan disebabkan pemandu mabuk," katanya selepas menyampaikan sumbangan sejumlah RM6,000 kepada Zahlawati Dahlan, 47, iaitu balu kepada Allahyarham Mohamed Zaili Mohamed, 44, yang maut dilanggar pemandu mabuk di Lebuhraya Sultan Iskandar di ibu negara pada Isnin lalu.

Kui Lun berkata, walaupun keluarga itu tinggal di Bukit Antarabangsa dan bukan di bawah Parlimennya, namun beliau terpanggil untuk membantu kerana simpati dengan nasib menimpa keluarga itu.

Beliau berharap Malaysia boleh meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya melalui pendidikan dan peraturan yang di guna pakai di beberapa negara maju.

"Di China contohnya, jika didapati memandu di bawah pengaruh alkohol, sabit salah boleh dipenjara seminggu dan pesalah diberikan pendidikan dengan melihat video kemalangan disebabkan pemandu mabuk selama seminggu.

Dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, motosikal dinaiki mangsa yang juga penghantar makanan dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina yang dipandu lelaki berusia 21 tahun dipercayai di bawah pengaruh alkohol.

Artikel Berkaitan:

Pelanggaran itu menyebabkan mangsa terbabas ke bahu jalan sementara motosikalnya diseret kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.