Murid sekolah diberi suntikan imunisasi secara berperingkat

R Vidyananthan
R Vidyananthan
A
A
A

JOHOR BAHARU - Perkhidmatan imunisasi dilaksanakan di Klinik Kesihatan, Klinik Kesihatan Ibu dan Anak atau Pejabat Kesihatan Daerah untuk murid-murid sekolah mengambil suntikan imunisasi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, perkhidmatan tersebut dilaksanakan mengikut jadual secara berperingkat-peringkat di semua fasiliti kesihatan milik kerajaan.

"Imunisasi ini adalah penting untuk mencegah penularan penyakit berjangkit. Murid yang terlibat adalah Tahun 1 untuk imunisasi mencegah penyakit demam campak (measles), rubella, difteria dan kancing gigi (tetanus).

"Murid perempuan Tingkatan 1 pula untuk imunisasi Human Papilloma Virus (HPV) dan murid Tingkatan 3 untuk imunisasi ATT (dos tambahan vaksin Tetanus)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, pada tahun ini keutamaan pemberian imunisasi diberikan kepada murid Tahun 1 dan Pejabat Kesihatan Daerah bekerjasama dengan Pejabat Pelajaran Daerah dalam menyelaras pemakluman kepada ibu bapa atau penjaga mengenai perkhidmatan itu.

Bermula 8 April sehingga kini katanya, seramai 7,533 murid diberikan suntikan imunisasi di fasiliti klinik kesihatan ataupun klinik desa.

Seterusnya bagi memastikan penjarakkan sosial sentiasa terjaga semasa perkhidmatan imunisasi diberi, pihak kesihatan telah menetapkan sebanyak 10 murid diberi temu janji setiap jam.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan ibu bapa atau penjaga untuk mematuhi tarikh dan masa temu janji dengan membawa anak-anak untuk imunisasi di fasiliti kesihatan yang ditetapkan apabila menerima jadual temu janji melalui pihak sekolah.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beliau memberitahu, sehingga semalam jumlah kes kumulatif sembuh di Johor adalah sebanyak 646 kes.

"Merujuk kepada satu kes baharu adalah melibatkan kes ke-676 yang merupakan seorang lelaki dari Sarawak, berumur 27 tahun. Lelaki berkenaan bekerja di atas kapal dari India pada 25 Disember 2019 dan tiba di Pasir Gudang pada 31 Mei lalu.

"Lelaki tersebut dikesan positif koronavirus (Covid-19) semasa menjalani saringan kesihatan selepas turun dari kapal untuk pulang ke Sarawak. Kes telah dihantar ke Hospital Kluang bagi rawatan selanjutnya," katanya.