Terengganu sedia teliti isu pemandu mabuk: MB

Ahmad Samsuri Mokhtar
Ahmad Samsuri Mokhtar
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Walaupun belum berlaku kes kematian akibat pemandu mabuk di negeri ini, kerajaan Terengganu bersedia meneliti isu berkenaan termasuk cadangan membekukan lesen perniagaan.

Bagaimanapun, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sebarang keputusan diambil perlu selari dengan keputusan di peringkat Pusat.

"Setakat ini operasi penjualan minuman keras di Terengganu berjalan seperti biasa dan tiada sebarang perubahan.

"Alhamdulillah, negeri kita tiada isu melibatkan kemalangan disebabkan pemandu mabuk.

"Namun, kita bersedia melihat isu berkenaan memandangkan ketika ini isu itu sedang dikaji di peringkat Pusat serta berlaku peningkatan kes berkenaan," katanya.

Beliau berkata, setakat ini Terengganu belum membuat sebarang kajian berhubung isu itu.

"Kita akan lihat dahulu di peringkat kementerian, apakah garis panduan diberikan dan langkah seterusnya akan diambil selepas itu.

"Segala keputusan bergantung kepada keputusan kementerian dan lihat suasana negeri sebab setiap negeri tidak sama," katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersedia membekukan pengeluaran lesen penjualan minuman keras, susulan peningkatan jumlah kemalangan membabitkan pemandu mabuk.

Bagaimanapun, Menterinya, Zuraida Kamarudin berkata, ia tertakluk kepada beberapa perkara yang perlu diselesaikan terlebih dulu serta perbincangan bersama kementerian berkaitan.