Bersidang segera untuk percepat kelulusan pindaan Akta 333

Anwar ketika mengulas mengenai isu pemandu mabuk
Anwar ketika mengulas mengenai isu pemandu mabuk
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong usaha kerajaan untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang bakal mengenakan hukuman lebih berat kepada individu memandu di bawah pengaruh alkohol.

Beliau bagaimanapun berkata, pindaan undang-undang perlu melalui proses dan mendapat kelulusan Parlimen.

"Masalahnya sekarang Parlimen tidak bersidang, jadi bagaimana mahu pinda hukuman atau undang-udang baharu? Ini juga antara sebab kenapa kita desak Parlimen harus bersidang segera," katanya menerusi Facebook Live PKR hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas isu pemandu mabuk yang kini dibincangkan pelbagai pihak.

Anwar berkata, beliau mengusulkan dan menyokong cadangan meletakkan pengesan alkohol untuk pemandu bagi mengelakkan kemalangan dan jenayah dilakukan ke atas orang lain selain hukuman lebih supaya insiden tidak berulang.

"Saya minta hal ini disegerakan dan tidak ada satu kelonggaran untuk pelaksanaan hukuman bagi pemandu mabuk sama ada alkohol atau dadah yang memudaratkan nyawa manusia," katanya.

Terdahulu, isu berkaitan kecuaian pemandu mabuk yang menyebabkan kecederaan serta kematian kepada bukan sahaja orang awam serta anggota polis ini kembali hangat diperkatakan susulan peningkatan kes tersebut sejak kebelakangan ini.

Terbaru, seorang penghantar makanan maut dilanggar pemandu mabuk dalam kejadian di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke Tun Razak, di ibu negara Isnin lalu.

Artikel Berkaitan: