Kedah bantu guru sekolah persendirian terjejas akibat PKP

Muhammad Sanusi Md Nor
Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah menyalurkan bantuan sebanyak RM1.23 juta kepada 4,146 guru sekolah persendirian yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya sudah meluluskan bantuan itu kepada guru sekolah rendah dan menengah agama, tahfiz dan pra-sekolah melibatkan guru yang gaji mereka bergantung kepada kutipan yuran persekolahan.

Menurutnya, sehubungan itu, pihaknya menasihatkan pemilik sekolah persendirian agar berdaftar bawah Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) bagi membolehkan bantuan lain disalurkan mengikut bilangan pelajar.

“Bila sesi sekolah tiada pada musim PKP, guru itu tidak dapat dibayar gaji. Kita telah bersetuju pada mesyuarat lalu, mereka diberikan bantuan dan peruntukan itu sudah diluluskan. Kita bersedia pertimbangkan bantuan pada bulan-bulan berikutnya kalau sesi persekolahan masih tidak dapat berlangsung,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi berkata, program Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) akan diteruskan sehingga tahun depan.

“Kita putuskan untuk teruskan projek ini untuk fasa dua bermula Jun hingga Disember ini manakala fasa ketiga diteruskan pada tahun depan. Ini merupakan berita baik untuk rakyat Kedah kerana program ini akan dikendalikan bersama dengan Projek Pengupayaan (Empowerment),” katanya.

Menurutnya, jumlah perbelanjaan program KIDA yang dilaksanakan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) bawah kendalian Exco Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Halimaton Shaadiah Saad kini adalah RM12.15 juta.

“Untuk fasa dua, terdapat penambahan penerima seramai 4281 orang di mana 1800 penerima sebelum ini dikeluarkan daripada senarai setelah mereka berjaya keluar dari garis kemiskinan manakala peniaga yang berjaya dalam progam Empowerment berjaya meningkatkan pendapatan keluarga,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Sanusi turut memaklumkan, kerajaan negeri telah bersetuju untuk membuka peluang projek kepada kontraktor kelas G1 yang sebelum ini dikenali sebagai kelas F, bernilai antara RM20,000 sehingga RM150,000.

“Undian akan mula dijalankan pada 9 Jun secara atas talian, mereka boleh mula mendaftar di laman web Pejabat Kewangan Negeri bermula 12.01 tengah malam ini. Ia merupakan Pakej Rangsangan Ekonomi kepada kontraktor yang berdaftar dengan pejabat daerah masing-masing,” katanya.

Menurutnya, nilai projek ditawarkan adalah mencecah RM33.46 juta dengan jumlah 413 projek.